Shafie: Warisan akan akhiri nasib malang PH

Presiden Warisan, Shafie Apdal (duduk, kanan), memerhatikan tenunan pua kumbu di Festival Kraftangan Tekstil Borneo.

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Shafie Apdal berharap dapat membantu Pakatan Harapan mengakhiri nasib malangnya dengan membantu DAP mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan bulan depan.

Pada 11 Mei, pengundi di Sandakan akan memilih wakil rakyat baru menggantikan Stephen Wong, pengerusi DAP negeri yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada 28 Mac.

Shafie menepis sebarang tanggapan mengatakan PH kehilangan momentum sejak pilihan raya umum lepas. Gabungan pemerintah itu ditewaskan pada 3 pilihan raya kecil tahun ini termasuk di DUN Rantau semalam.

“Setiap kawasan berbeza. Jika hujan di sana, tak semestinya hujan di sini tapi mungkin panas,” katanya mengulas kekalahan pilihan raya itu.

Shafie akui bukan mudah untuk memenangi Sandakan. “Kadang-kadang, ada perkara yang dekat dengan hati pengundi di sana dan ia akan agak berbeza dengan pengundi di tempat lain.”

Beliau berkata beberapa isu seperti pekerjaan dan peluang ekonomi boleh menjejaskan sokongan rakyat.

“Itulah sebabnya kami melakukan yang terbaik untuk memastikan kami dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan peluang bagi rakyat di Sabah, walaupun saya perlu akui ia tidak secepat yang dikehendaki orang,” kata Shafie, yang juga ketua menteri Sabah.

Menghadapi pilihan raya kecil nanti, pihaknya akan berusaha dan “kita tak boleh angkuh,” katanya.

Di Rantau, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan meraih kemenangan meyakinkan mengatasi Dr Streram Sinnasamy dari PKR.

Shafie berkata dia mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengenai calon-calon berpotensi di Sandakan, kawasan majoriti Cina.

Setakat ini, bekas eksekutif syarikat minyak sawit, Chia Siew Yung, 46, dilapor mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas, dengan sokongan 5 NGO.

Beliau berkata dia mahu membawa “suara rakyat Sandakan” ke Parlimen.