Pertumbuhan pelaburan swasta turun ketara pada 2018

Pengarah Eksekutif SERC, Lee Heng Guie (tengah).

KUALA LUMPUR: Sebuah badan pemikir menggesa Putrajaya mengemukakan rancangan holistik untuk menggiatkan semula pelaburan swasta ketika sektor menunjukkan penurunan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) berkata nisbah pelaburan swasta berbanding keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Malaysia melantun selepas krisis kewangan Asia daripada purata 11.2% (2001-2010) kepada 16.11% (2011-2018).

Tetapi badan pemikir itu berkata pertumbuhan pelaburan swasta reda daripada 13.6% setahun pada 2011-2014 kepada 6.1% setahun pada 2015-2018.

“Ia menurun daripada 4.5% pada 2018 daripada 9.3% pada 2017,” kata Pengarah Eksekutif Lee Heng Guie.

Beliau berkata angka-angka itu berdasarkan pelaburan langsung domestik dan pelaburan langsung asing.

Purata kadar pertumbuhan pelaburan swasta dari 2001 hingga 2017 adalah 10.5%.

Lee berkata terdapat faktor luaran dan dalaman sebalik pertumbuhan pelaburan swasta yang perlahan dan penurunan kadar pertumbuhan yang dicatatkan tahun lepas.

Dari segi luaran, pelabur bimbang dengan perang perdagangan Amerika Syarikat-China dan ketidaktentuan terhadap kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.

Dari segi dalaman, pelabur berwaspada terhadap perubahan dasar selepas perubahan kerajaan tahun lepas.

Lee menyeru kerajaan membentangkan suatu rancangan strategi pelaburan kebangsaan bagi mengkaji faktor luaran dan domestik yang boleh memberi kesan pada keputusan pelabur.

Beliau memberi contoh ketakjelasan tentang pengambilan pekerja asing.

“Ya, kita mahu kurangkan kebergantungan kepada pekerja asing tetapi kita juga perlu perhatikan kebimbangan para pengilang ketika berusaha mengurangi kebergantungan itu.

“Dalam tempoh jangka masa pendek, kita mesti boleh penuhi keperluan perniagaan atau ia akan memberi kesan pada operasi mereka.”

Beliau berkata kerajaan mesti menjadi pemudahcara yang berkesan supaya sektor swasta boleh beroperasi dalam persekitaran perniagaan yang lebih sesuai, termasuk dasar-dasar kawal selia dan persaingan yang bijak serta sistem percukaian yang cekap.

Namun beliau berkata sektor swasta tidak perlu terlalu waspada.

“Kerajaan baru berkata ia perlukan 3 tahun untuk menjadikan ekonomi Malaysia kembali sihat jadi sektor swasta mesti isi ruang itu kerana jika tidak keseluruhan ekonomi akan menurun.”

Lee berkata tinjauan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) mendapati walaupun perniagaan berwaspada tentang prospek mereka pada separuh pertama tahun ini, mereka lebih positif pada separuh kedua tahun 2019 dan 2020.