Kamu ada percanggahan kepentingan, isteri Amri jawab KPN

Norhayati Mohd Ariffin, isteri kepada aktivis Amri Che Mat yang hilang.

PETALING JAYA: Isteri kepada aktivis Amri Che Mat mengingatkan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun bahawa beliau pengarah Cawangan Khas semasa suaminya hilang pada 2016, oleh itu beliau ada percanggahan kepentingan.

Norhayati berkata demikian selepas Fuzi hari ini menafikan pegawai SB terbabit dalam kehilangan Amri.

“Kami merayu agar beliau tidak membuat apa-apa kenyataan seperti ini. Sebaliknya, kami harap polis akan bekerjasama dengan siasatan khas yang dijanjikan kerajaan,” katanya kepada FMT hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah berkata siasatan baru akan dijalankan oleh ketua polis negara baru selepas Fuzi bersara bulan depan.

Terdahulu, Fuzi menafikan pegawai SB terbabit meskipun kesimpulan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) selepas inkuiri selama setahun memberi gambaran sedemikian.

Beliau berkata, seorang pegawai yang enggan memberi keterangan kepada inkuiri itu hanya pekerja awam.

Inkuiri itu diberitahu sebuah kereta milik seorang pegawai SB, Saiful Bahari, dilihat berada dekat dengan lokasi Amri dipercayai diculik.

Kegagalan Saiful memberi keterangan kepada inkuiri itu menyebabkan Suhakam mendakwa polis tidak memberi kerjasama.

Fuzi berkata, polis sudah menyelesaikan siasatan mereka dan sedang menunggu respons daripada timbalan pendakwa raya.

Suhakam hari ini berkata penerbitan laporan berhubung kehilangan Amri Ceh Mat bukan di luar kebiasaan, dan menolak dakwaan badan itu cuba menghukum polis sebagai tidak munasabah.

Pemangku Pengerusi, Jerald Joseph berkata sejak penubuhannya, Suhakam menjalankan 9 siasatan awam dan kandungan setiap laporan siasatan awam disiarkan secara terbuka dan boleh diakses oleh orang awam dan media.