Balu PI Bala dibenar mula kes hina mahkamah terhadap Shafee dan 2 lagi

A Santamil Selvi ialah balu penyiasat peribadi, P Balasubramaniam. (Gambar Youtube)

KUALA LUMPUR: Balu mendiang penyiasat peribadi P Balasubramaniam yang lebih dikenali sebagai PI Bala, mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi memulakan perbicaraan kes menghina mahkamah terhadap peguam Muhammad Shafee Abdullah, Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim dan seorang doktor.

Peguam, Americk Sidhu yang mewakili A Santamil Selvi berkata, hakim Azimah Omar memberi lampu hijau untuk memulakan prosiding itu ke atas 3 individu terbabit kerana tidak menghormati mahkamah.

“Kami akan memfailkan kertas diperlukan untuk memulakan prosiding kes menghina mahkamah terhadap 3 responden itu,” katanya selepas mendapat perintah ex-parte di kamar hakim.

Shafee, Azeez dan Dr S Ganesanathan boleh mengetepikan kebenaran diberikan kepada Santamil atau mencabar dakwaan menghina mahkamah itu.

Santamil memfailkan permohonan itu pada 31 Oktober lalu, mendakwa 3 responden terbabit menghalang ahli perniagaan, Deepak Jaikishan daripada disoal balas mengenai satu afidavit yang dikemukakan bersama pernyataan pembelaan dalam saman Santamil.

Santamil mendakwa Shafee yang mewakili Deepak dalam kes itu, secara sengaja salah memaklumkan mahkamah yang Deepak tidak dapat hadir ke mahkamah kerana sakit.

Salinan laporan perubatan Deepak yang dikeluarkan hospital kerajaan, turut diserahkan kepada mahkamah.

Prosiding itu yang sepatutnya didengar Hakim Hue Siew Kheng yang bersara 19 Mac 2018, ditunda ke 27 Mac dan sekali lagi ke 13 April selepas Shafee menyerahkan laporan perubatan Deepak yang dikeluarkan Ganesanathan.

Santamil turut mendakwa Deepak membuat satu laporan polis berkata, Shafee, Azeez dan doktor itu berkomplot untuk mengelakkan dia menghadiri prosiding mahkamah dengan mengemukakan laporan perubatan palsu.

Dalam afidavit yang difailkan bersama permohonan itu, Santamil mendakwa Deepak dihalang menghadiri prosiding mahkamah sebagai cubaan menghalang Deepak daripada memberitahu perkara sebenar mengenai pembabitan bekas perdana menteri, Najib Razak yang dinamakan sebagai defendan dalam samannya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Santamil dan 3 anaknya – Kishen, Menaga dan Reeshi mendakwa mereka terpaksa berpindah ke India susulan akuan sumpah ke-2 yang dibuat Bala berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Mereka berkata, mereka tinggal di India selama 56 bulan sejak 4 Julai 2008.

Mereka menuntut ganti rugi RM840,000, termasuk kos menyewa sebuah pangsapuri di Chennai, India, yuran persekolahan dan hilang punca pendapatan sebagai guru tadika, selain pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am dan khas serta kos lain.

Bala ialah saksi utama dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya pada 2006.

Beliau meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu selepas pulang dari India.