Penjual nasi lemak raih RM400,000 sebulan dengan modal RM3,000

Nasi Lemak Saleha cawangan kedua yang dibuka di Sri Rampai, Wangsa Maju, bangunan ini bernilai RM3.8 juta dibeli Saleha sendiri bagi memajukan perniagaan.

Siapa sangka dengan hanya bermodalkan RM3,000, seorang penjual nasi lemak kini mampu meraih pendapatan mencecah hampir RM400,000 sebulan.

Lebih menarik apabila kejayaan itu diperolehi tanpa sebarang pinjaman daripada mana-mana bank.

Saleha Abdullah mula berkecimpung dalam dunia perniagaan dengan berniaga di sebuah kedai kecil tepi jalan 10 tahun lalu.

“Idea ini datang dari suami saya sendiri, masa itu saya bekerja dengan arwah mak, kedai kecil itu, dah 30 tahun lebih semasa arwah mak saya ada.

Kedai Nasi Lemak Saleha yang pertama dibuka di Kampung Pandan pada 2009
Saleha Abdullah memulakan perniagaan dengan hanya bermodalkan RM3,000.

“Kemudian suami meminta saya untuk menjual nasi lemak di Kampung Pandan. Saya pun mula buat pada peringkat permulaan dalam sekilo beras sahaja. Ia habis dijual dan jumlah itu meningkat dari hari ke hari.

“Bermula 2009, saya gunakan modal RM3,000 itu sebagai modal pusingan dan saya konsisten, cermat dalam setiap duit yang dikeluarkan. Akhirnya, saya boleh buka kedai tepi jalan secara kecil-kecilan dan ada 20 pekerja.

“Anak-anak saya membantu banyak dalam hal ini,” katanya kepada FMT.

Perniagaannya semakin berkembang dan Saleha membeli beberapa lori bagi tujuan penghantaran.

Nasi lemak yang disediakan kepada pelanggan, RM1.90 bagi setiap hidangan, namun boleh memilih pelbagai lauk untuk menambah rasa selera anda.
Sambal nasi lemak ini mengambil masa selama 6 ke 7 jam untuk masak sepenuhnya, dan ia mampu dihidangkan kepada 2000 pelanggan setiap kali sambal itu dimasak
Antara menu yang dihidangkan dan menjadi kegemaran orang ramai, ayam goreng berempah

Kini, perkhidmatan Food Panda turut membantu meningkatkan jualannya. Tetapi, ada juga pelanggan Nasi Lemak Saleha yang yang sanggup beratur panjang khususnya pada hujung minggu demi merasai keenakan makanan popular rakyat berbilang kaum di negara ini.

Nasi lemak Saleha terkenal di sekitar Lembah Klang dan turut mendapat liputan media tempatan mahupun antarabangsa.

“Tiada apa yang unik tentang nasi lemak ini, cuma masak biar betul, hati biar ikhlas, jangan sebab harga barang naik, kita kurangkan bahan dalam masakan, orang akan lari.

“Mungkin keaslian nasi lemak itu masih dirasai bila kita hidang nasi tersebut di atas daun pisang. Wangi itu ada,” katanya.

Bahan yang cukup serta cara masakan sambal nasi Lemak Salaha membuatkan ia berbeza dengan sambal nasi lemak lain.
Setiap hujung minggu restoran Nasi Lemak Saleha akan dikunjungi ramai, tidak kira sama ada di Ampang atau Sri Rampai
Beberapa applikasi seperti Grab dan Honestbee menyediakan perkhidmatan penghantaran nasi lemak secara terus kepada pelanggan

Namun, di sebalik setiap kejayaan pasti ada pahit manis yang terpaksa diharungi usahawan. Saleha tidak terkecuali berdepan kesukaran akibat dendam peniaga lain yang dengki dengan kejayaannya sehingga hari ini.

“Selama ini, saya tak pernah kacau orang, tapi akhirnya menitik juga air mata apabila peniaga lain terlalu dengki dengan kejayaan ini, mereka gunakan MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) untuk merampas kerusi dan meja agar kami tidak boleh beroperasi.

“Selama saya berniaga, walaupun zaman arwah mak ada, saya tak pernah kena teruk seperti ini.

“Namun, ia tidak mematahkan semangat dan usaha untuk terus memajukan cawangan ke-2.”

Hasil usaha gigihnya, Saleha akhirnya mampu membeli sebuah bangunan di Sri Rampai, Wangsa Maju yang bernilai RM3.8 juta dengan bantuan Amanah ikhtiar Malaysia dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Idea itu datang daripada anak lelakinya, Mohd Rizal Isa yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai doktor untuk mempelajari selok-belok perniagaan.

“Ini semua hasil idea dia, dia belajar macam mana nak buka kedai, adik-adik dia dan seorang kakaknya menjalankan operasi dari segi pengurusan dan masakan, saya boleh lepas tangan perlahan-lahan.

“Dah sampai masa saya perlu rehat, biar anak-anak yang uruskan, tapi masih perlu dipantau.”

Ayam masak merah.
Rendang daging.
Pelanggan nasi lemak Saleha bukan sahaja Melayu malah masyarakat kaum Cina juga suka meninkmatinya.
Hidangan asas, nasi lemak berserta timun, separuh telur rebus, ikan bilis dan kacang serta sambal

Kini, Nasi Lemak Saleha mempunyai 60 kakitangan dan pendapatan harian boleh mencecah RM12,000.

“Kita akan mula menyediakan sambal seawal 4 pagi. Setiap kali masak sambal, ia mengambil 6 hingga 7 jam bagi hidangan 2,000 orang.”

Nasi Lemak Saleha yang beroperasi setiap hari bermula 6 pagi sehingga 1 pagi menyediakan pelbagai lauk-pauk sampingan, termasuk ayam goreng, sambal sotong, paru goreng berlada dan daging rendang.

Selain lokasinya berhampiran Lebuhraya MRR2, anda boleh juga berkunjung ke sebuah lagi cawangan di Sri Rampai.

Anda juga boleh “check-in” di Facebook “Nasi Lemak Saleha (superb)”! Cuba cari, mesti jumpa!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]