
Pada 9 pagi, ringgit disebut harga pada paras 4.135/140 berbanding 4.132/137 semasa ditutup pada Rabu berikutan pasaran ditutup pada Khamis bersempena cuti Hari Pekerja.
Kenanga Research dalam nota hari ini berkata, pertumbuhan pinjaman mengekalkan aliran menurun pada Mac yang mencatatkan paras terendah dalam tempoh 10 bulan iaitu pada 4.9% tahun ke tahun, berbanding 5.0% pada Februari.
“Kami percaya BNM kini mempunyai kelonggaran lebih besar untuk mengurangkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas, mungkin pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari akan datang pada 7 Mei,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, kemerosotan pertumbuhan pinjaman, terutamanya didorong oleh kelembapan pinjaman yang diperuntukkan untuk pembinaan, modal kerja dan penggunaan peribadi, manakala pinjaman untuk barangan pengguna tahan lama dan kereta penumpang terus merosot.
“Ini menunjukkan sentimen berhati-hati yang tinggi dalam kalangan pengguna terhadap pertumbuhan ekonomi yang perlahan,” katanya.
Sementara itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.
Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0389/0430 daripada 3.0362/0410 pada penutupan Selasa dan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.3991/4060 daripada 5.3662 / 3744.
Mata wang tempatan, bagaimanapun, mengukuh berbanding yen kepada 3.7075/7123 daripada 3.7118 / 7170 tetapi merosot berbanding euro kepada 4.6333/6397 daripada 4.6311/6384.