
Pengerusi Abdul Rashid Abdul Rahman berkata isu kerajaan sementara menarik untuk dikaji.
“Kami tidak pernah bincangkan sama ada pentadbiran sedia ada terus mengetuai selepas pembubaran Parlimen atau sama ada kumpulan lain seperti Suruhanjaya Pilihan Raya atau ketua setiausaha negara harus mengetuai kerajaan sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan perbincangan meja bulat dengan wakil media mengenai reformasi pilihan raya.
Bekas pengerusi SPR itu berkata lebih banyak perbincangan mengenai perkara itu perlu diadakan dan situasi di negara-negara lain juga perlu dikaji.
Beliau berkata ERC sedang menyediakan laporan interim mengenai apa yang sudah mereka lakukan setakat ini, untuk dibentangkan menjelang hujung tahun ini
ERC ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk mengkaji sistem dan undang-undang pilihan raya Malaysia.
Jawatankuasa diberi tempoh 2 tahun mulai Ogos 2018 untuk menyiapkan tugas mereka dan menyediakan syor-syor kepada kerajaan.
Pilihan raya tempatan
Ditanya mengenani cadangan memperkenalkan semula pilihan raya tempatan, Rashid berkata perkara itu bukan bawah ERC.
Rashid berkata dia sudah pergi ke banyak tempat dan orang ramai meminta dia mengkaji gesaan memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.
“Pada pertengahan 1960-an, saya teringat pilihan raya tempatan dibatalkan kerana sebab-sebab politik.”
Rashid berkata orang ramai kini lebih bijaksana kerana mereka mahu suara mereka didengari pihak berkuasa sebelum membuat keputusan tertentu seperti menaikkan cukai.
Beliau berkata pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh menaikkan cukai tanpa rundingan sewajarnya dengan penduduk.
“Saya pun merana kerana saya menetap di kawasan bawah DBKL,” katanya.
Kali terakhir pilihan raya kecil tempatan diadakan adalah pada 1963. Pilihan raya yang dijadualkan pada tahun berikutnya dibatalkan. Sebab diberikan kerajaan persekutuan adalah konfrontasi Indonesia.
Penggantungan itu, yang sepatutnya langkah sementara, menjadi kekal pada 1976 apabila Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan, yang memansuhkan pilihan raya itu dan membolehkan ahli majlis dilantik parti-parti politik.