Rakyat Thai berpanas terik saksi perarakan diraja

Rakyat Thai berpanas terik saksi perarakan diraja

Lautan rakyat dengan berpakaian serba kuning tanpa menghiraukan cuaca panas berbaris di sepanjang jalan untuk menyaksikan pemahkotaan Raja Maha Vajiralongkorn.

Raja Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida menampilkan diri di khalayak ramai sejak upacara pemahkotaan di kompleks Grand Palace pada Sabtu. (Gambar Youtube)
BANGKOK:
Lautan rakyat dengan berpakaian serba kuning tanpa menghiraukan cuaca panas berbaris di sepanjang jalan Ratchadamnoen Avenue di Bangkok untuk menyaksikan perarakan diraja sempena pemahkotaan Raja Maha Vajiralongkorn yang baru.

Walaupun cuaca di Bangkok mencecah 37° Celsius, namun ia tidak melemahkan semangat rakyat Thailand untuk berkumpul sejak awal pagi untuk melihat sepintas lalu Raja Vajiralongkorn.

Payung dengan pelbagai warna membentuk bagaikan satu alunan sambutan di jalan sepanjang 7km dari Grand Palace ke 3 buah kuil di mana raja berkenan untuk memberi penghormatan kepada Buddha yang utama.

Dengan semua berpakaian kuning, warna istimewa yang dikaitkan dengan raja iaitu Raja Vajiralongkorn, bendera kebangsaan serta bendera monarki, dan berlutut secara tradisi Thai.

Dengan ungkapan “Song Phra Cha-roen” (semoga dipanjangkan umur raja) mereka melaungkannya ketika Raja Vajiralongkorn menaiki tandu diraja melalui lautan manusia itu.

Ia adalah kali pertama bagi Raja Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida menampilkan diri di khalayak ramai sejak upacara pemahkotaan di kompleks Grand Palace kelmarin.

Supit Boonmart, 51, sanggup datang sejauh 7 jam perjalanan menaiki bas dari tempat tinggalnya, Phetchabun di utara-tengah Thailand ke Bangkok hanya untuk menyaksikan perarakan pertabalan yang bersejarah ini.

“Saya tiba awal untuk memastikan saya dapat tempat yang baik di sepanjang laluan perarakan itu.

“Saya gembira kerana ini adalah kali pertama Raja Vajiralongkorn tampil di khalayak ramai selepas upacara pemahkotaan itu… ia satu memori sepanjang hidup. Saya boleh berkongsi cerita dengan anak dan cucu saya di kampung,” katanya kepada Bernama.

Perarakan itu bermula pukul 4.50 petang (waktu tempatan) melibatkan 7km dari Grand Palace ke 3 kuil diraja – Wat Bovoranives, Wat Rajabopidh dan Wat Phra Chetuphon.

Raja Vajiralongkorn memasuki kuil-kuil berkenaan untuk memberi penghormatan kepada imej Buddha yang utama.

Lebih 1,300 pegawai dilaporkan mengambil bahagian dalam perarakan sepanjang 7km itu.

Permaisuri Suthida dan Puteri Bajrakitiyabha berada di kedua-dua bahagian tandu itu. Turut mengambil bahagian dalam perarakan itu ialah Perdana Menteri, Jeneral Prayut Chan-o-cha dan beberapa anggota Kabinet.

Perarakan diraja dan kunjungan ke kuil Buddha hari ini adalah sebahagian daripada upacara pemahkotaan selama 3 hari yang akan melengkapkan kerajaan baginda.

Pada Sabtu, Raja Vajiralongkorn secara rasmi dimahkotakan sebagai Raja Ke-10 dari dinasti Chakri dalam upacara yang berlangsung mengikut kepercayaan Hindu dan Buddha.

Raja Vajiralongkorn, 66, juga dikenali sebagai Raja Rama X menjadi raja berperlembagaan selepas kematian ayahandanya, Raja Bhumibol Adulyadej — yang memerintah selama 70 tahun – meninggal dunia pada Oktober 2016. Ia adalah Pemahkotaan Diraja kali ke-12 di negara ini selepas setahun berkabung.

Terdahulu hari ini, Raja Vajiralongkorn menganugerahkan pangkat dan gelaran baru kepada beberapa anggota keluarga diraja.

Bagi sukarelawan, Suporn Aphibal dari Nonthaburi, Bangkok, beliau berkata ia satu pengalaman hebat apabila dapat menyaksikan Raja Vajiralongkorn yang baru dimahkotakan menampilkan diri buat kali pertama hari ini.

Suporn, 74, juga berkata adalah berbaloi walaupun terpaksa menunggu berjam lamanya untuk menyaksikan perarakan yang bersejarah ini.

“Saya selalu melihat Raja ini pada beberapa upacara diraja semasa saya bertugas sebagai sukarelawan tetapi ini adalah saat yang istimewa apabila dapat melihat raja ini sendiri pada perarakan pemahkotaan dan memberi penghormatan kepada raja,” kata wanita itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.