
Ketua Menterinya, Abang Johari Openg berkata beliau sudah berbincang dengan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik untuk mengenal pasti cara program itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Formula itu sedang dilaksanakan dan untuk pembayaran pertama, kerajaan Sarawak akan menyalurkan RM300 juta, pembayaran kedua RM300 juta lagi dan pembayaran ketiga RM400 juta – RM1 bilion dalam tempoh 2 tahun.
“Malah, kami telah menyediakan cek,” katanya berucap merasmikan Sambutan Hari Guru peringkat Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata, Sarawak mahu memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan dan tidak mahu menyerahkan isu pembangunan pendidikan kepada kerajaan persekutuan semata-mata.
“Untuk itu, saya telah menubuhkan Kementerian Pendidikan Sarawak dengan Michael Manyin sebagai menteri pertamanya.”
“Penubuhan Kementerian Pendidikan negeri membolehkan peruntukan kewangan disalurkan untuk pembangunan pendidikan di Sarawak, selain peruntukan persekutuan dan kerajaan terlibat dalam penggubalan dasar dan pentadbiran.”