Kenaikan tarif AS: Korea Selatan ambil langkah stabilkan pasaran

Kenaikan tarif AS: Korea Selatan ambil langkah stabilkan pasaran

AS dan China menamatkan rundingan perdagangan tanpa perjanjian minggu lepas, meningkatkan ketidaktentuan dalam perdagangan global.

Ekonomi Korea Selatan sangat bergantung pada eksport dan pelaburan modal asing, membuatkan negara itu terdedah kepada kejutan luaran. (Gambar Facebook)
SEJONG:
Korea Selatan akan mengambil langkah menstabilkan pasaran kewangannya jika perlu dan kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas produk import China mungkin memberikan kesan terhad ke atas pasaran kewangan, lapor agensi berita Yonhap.

Naib Menteri Ekonomi dan Kewangan pertama, Lee Ho Seung berkata pada Isnin, kesan langsung tindakan AS ke atas sektor ekonomi Korea Selatan adalah terhad. Tarif ke atas barangan China berkuat kuasa mulai 10 Mei.

Pada Jumaat AS menaikkan tarif sebanyak 25% daripada 10% terhadap barangan import China bernilai AS$200 bilion.

AS dan China menamatkan rundingan perdagangan tanpa perjanjian minggu lepas, meningkatkan ketidaktentuan dalam perdagangan global.

Namun kedua-dua pihak masih menunjukkan kesediaan untuk terus mengadakan perbincangan, walaupun tiada tempoh masa tertentu ditetapkan.

Lee berkata, kerajaan akan mengambil langkah pencegahan bagi meminimumkan sebarang kesan kejatuhan akibat situasi itu.

Rizab asing Korea Selatan berjumlah AS$404.03 bilion pada akhir April, ke-9 terbesar di dunia, menurut Bank of Korea.

Korea Selatan – sebuah ekonomi kecil dan terbuka – sangat bergantung pada eksport dan pelaburan modal asing, membuatkan negara itu terdedah kepada kejutan luaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.