Bersih: Menteri perlu ambil cuti jika mahu berkempen

Pemimpin PH semasa ceramah dalam kempen PRK di Semenyih, Mac lalu.

PETALING JAYA: Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 hari ini menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan peraturan melarang menteri berkempen untuk pilihan raya pada waktu bekerja, mengatakan mereka perlu memohon cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji jika mereka ingin berbuat demikian.

Dalam satu kenyataan oleh jawatankuasa itu, ia berkata ini perlu untuk mengelak sebarang persepsi bahawa SPR “dikawal” oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mengatakan semalam bahawa beliau akan meminta suruhanjaya itu menimbang semula arahan tersebut.

Ia juga mencadangkan agar tiada aset kerajaan atau pembantu diarah untuk menemani menteri dalam sesuatu kempen termasuk menggunakan kenderaan rasmi, pemandu dan “bilangan pembantu keselamatan yang munasabah”.

Mengenai penggunaan pesawat seperti helikopter atau pengangkutan lain kerana bimbangkan keselamatan, ia berkata pengecualian boleh dibuat untuk perdana menteri.

“Tetapi kami mencadangkan parti politik atau pakatan membuat bayaran sepadan dengan tambang kelas pertama untuk PM dan rombongannya,” tambahnya.

“Ini sama dengan apa yang dilakukan presiden AS dan rombongannya jika mereka terlibat dalam aktiviti parti menggunakan Air Force One,” katanya sambil menambah Mahathir menetapkan satu contoh yang baik dengan helikopter swasta semasa kempen untuk pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Supayan dana parti tidak mengalir untuk perbelanjaan tersebut, ia mencadangkan agar kerajaan mempercepat pelaksanaan pembiayaan awam untuk parti politik berdasarkan perkongsian undi yang diterima pada pilihan raya yang lalu.

Semalam, Mahathir melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap ketetapan SPR yang sebelum ini yang mengeluarkan perintah melarang penjawat awam berkempen pada waktu bekerja.

Beliau juga berkata sekatan itu memberi kelebihan kepada pembangkang “kerana mereka tidak mempunyai sebarang kerja”.

Bagaimanapun, Bersih berkata sekatan itu adalah sejajar dengan Resolusi Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu 51/59 “Tindakan terhadap Rasuah”.

Ia menambahkan sekatan yang sama diterima pakai di India, Australia, Barbados, Kanada, Ireland, Ghana dan Namibia.

“SPR perlu menggunakan kuasaya di bawah Perkara 113(5) perlembagaan persekutuan dalam usaha menggubal satu kod etika tingkah laku yang komprehensif seperti yang terdapat di india – yang meliputi fungsi kerajaan semasa pilihan raya kecil dan peranan kerajaan sementara pada masa pilihan raya umum,” katanya.

“Bersih menyeru semua pihak berkepentingan untuk menghargai usaha SPR, walaupun ia menyusahkan pihak kerajaan dan pihak pembangkang.”