Kami diugut, kata ketua kumpulan Sunni didakwa sebarkan Syiah

Beg ‘goodies’ Ramadan yang diagihkan kepada orang ramai oleh kumpulan ‘Who Is Hussain’. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ahli sebuah kumpulan yang mengagihkan risalah mengenai Imam Husain di Kuala Lumpur menafikan dakwaan mereka menyebarkan fahaman Syiah, sehari selepas polis memberi amaran terhadap tindakan mereka.

Kumpulan “Who Is Husain?” turut memberitahu FMT, mereka menerima ugutan bunuh.

Husain Ali ialah cucu Nabi Muhammad yang juga watak penting dalam fahaman Syiah yang dilabelkan sesat oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

Tetapi, ketua kumpulan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Natasha berkata, ia bukannya organisasi agama.

“Organisasi kami ialah badan amal yang mahu membawa perubahan positif, kami tiada kaitan dengan agama. Fokus kami terhadap alam sekitar, kemiskinan, gelandangan, kebersihan dan bekalan air,” katanya kepada FMT.

Katanya, ahli kumpulan itu mengedarkan beg “goodies” Ramadan kepada orang ramai, termasuk kurma, minuman, tasbih dan risalah organisasi itu.

Natasha yang mendakwa dirinya Sunni berkata, satu kumpulan Facebook kemudiannya mendakwa mereka menyedarkan fahaman Syiah.

“Ada orang yang memberi maklumat salah dan sengaja memanipulasi keadaan.”

Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama untuk mengekang kegiatan kumpulan itu.

“Kita akan pantau sebarang aktiviti yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ambil tindakan yang wajar,” katanya semalam.

Natasha berkata, kumpulan itu perlu dilayan secara adil dan pihak yang mengugut mereka perlu disiasat.

“Kami sudah membuat satu laporan polis mengenai perkara ini serta berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan bertindak terhadap mereka yang mengugut kami.”