Pegawai Asri persoal PAS selepas suspek bakar kereta dikaitkan Unit Amal

Polis berjaya menahan suspek yang terbabit dalam perbuatan membakar kereta rasmi mufti Perlis, Isnin lalu.

PETALING JAYA: Pegawai Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin mempersoal peranan Unit Amal PAS selepas pendedahan penglibatan individu yang mempunyai kedudukan penting dalam parti Islam itu dalam perbuatan membakar kereta rasmi mufti tersebut.

“Memang benar Dr Maza kadang-kala melontar pandangan berbeza dengan parti mereka. Beliau juga sering memberikan kritikan ilmiah terhadap parti berkenaan sejak dahulu.

“Persoalannya jika tidak setuju, apakah mereka sehingga menghalalkan memusnahkan harta dan mencederakan tubuh orang yang berbeza pandangan dengan mereka?

“Mengapa tidak sekadar menganjurkan debat ilmiah perbezaan pandangan Dr Maza dan PAS dalam isu kafir-mengkafir sesama Islam, umpamanya,” tulis pentadbir Facebook mufti itu.

Isnin lalu, Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohamad berkata seorang penganggur berusia 36 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Jelempok di Arau, Perlis berhubung perbuatan membakar kereta rasmi Asri.

Beliau berkata suspek mengaku diupah RM500 oleh seorang individu untuk melakukan perbuatan khianat itu bersama seorang rakan yang masih bebas, yang dikenali sebagai “Mie Tomoi”.

Menurut suspek, seorang daripada individu terbabit menawarkan upah yang lumayan dengan menyuruhnya dan Mie Tomoi menyimbah asid ke muka Asri tetapi tidak dipersetujui, katanya.

Selepas penangkapan itu, tersebar wajah individu yang mengupah suspek di akaun media sosial, yang mengaitkannya dengan PAS.

Menurut maklumat di laman Facebook “Tuah Rezzal YB”, suspek dikenali sebagai Azimar didakwa diupah oleh individu yang dikenali sebagai Ahmad Muzaini Mydin.

Muzaini dikatakan ahli PAS dan anggota Unit Amal parti itu.

Kunjungan ke laman Facebook Asri sekitar 5.30 petang tadi mendapati tulisan pegawai tersebut sudah diturunkan.