Sekarang Rayer mahu debat dengan Najib

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

PETALING JAYA: Pencabar baru muncul hari ini selepas penasihat DAP, Lim Kit Siang menarik diri daripada menyahut cabaran debat Najib Razak.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer berkata, beliau lebih daripada berkemampuan untuk menyahut cabaran pemimpin veteran itu yang juga merupakan bekas perdana menteri.

Pemimpin muda DAP itu percaya negarawan berusia seperti Lim tidak perlu membuang masa berdebat dengan seorang yang didakwa sebagai “kleptokrat”.

“Tidak wajar Lim Kit Siang berdebat dengan Najib. Kenapa dia perlu menjatuhkan kehormatan dirinya (standard) berdebat dengan Najib,” katanya kepada FMT.

Beliau meminta Najib membersihkan dirinya daripada semua pertuduhan yang dihadapinya terlebih dahulu.

“Lagi pun Najib mempunyai banyak peluang untuk berdebat sebelum pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas, seperti forum “Nothing to Hide” dengan Dr Mahathir Mohamad,” katanya merujuk kepada acara yng dijadualkan pada 13 Ogos 2017, yang tidak dihadiri Najib.

Kata Rayer, hingga kini Najib tidak mahu berdebat dengan sesiapa pun di Dewan Rakyat.

“Katanya dia tidak mahu diganggu,” kata beliau.

Rayer berkata beliau menawarkan dirinya untuk berdebat dengan Najib.

“Najib boleh berdebat dengan saya tentang apa-apa sahaja,” katanya.

“Saya bersedia mencabar Najib di Parlimen jika dia sedia berdebat dengan saya di situ.”

Penganalisis berpendapat debat antara Lim dengan Najib merupakan peluang bagi bekas perdana menteri itu memperluaskan pengaruhnya dan mengalihkan tumpuan daripada dakwaan salah laku yang dihadapinya.

Terdahulu Najib mencadangkan debatnya dengan Lim diadakan selepas Hari Raya dan disiarkan secara langsung.

Lim sebelum itu berkata tajuk debat hendaklah dimaklumkan secara jelas iaitu “Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita boleh menjadikannya negara berintegriti”.

Bagaimanapun terdahulu hari ini, Lim berkata beliau “dihujani nasihat” daripada rakyat Malaysia menggesanya tidak meneruskan debat tersebut. Beliau mendakwa ada kemungkinan debat itu bertukar menjadi “konflik Melayu lawan Cina”.

Beliau juga mengakui adanya kemungkinan keputusannya itu dianggap langkah penakut oleh sesetengah pihak.