Peguam wakili kerajaan, keluarga Adib tarik diri daripada inkues

Syazlin Mansor (kiri) bersama bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid.

SHAH ALAM: Prosiding inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim dikejutkan dengan penarikan diri peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga anggota bomba itu.

“Saya menarik diri daripada mewakili KPKT, pihak bomba dan pihak keluarga Adib,” kata Syazlin Mansor sebaik saja inkues pada hari ke-37 bermula di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

“Dengan penarikan diri saya, saya percaya Prof Shahrom Abd Wahid (bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia) sebagai saksi ke-29 yang dipanggil semula sebagai pakar dalam kes ini juga terbatal,” katanya di depan Koroner, Rofiah Mohamad dalam nada sebak.

Syazlin ialah satu-satunya peguam mewakili KPKT dan JBPM.

Seorang lagi peguam yang mewakili keluarga Adib, Ahmad Taufiq Baharum memberitahu koroner, pihaknya tiada lagi saksi untuk dipanggil.

“Memandangkan penarikan diri Prof Shahrom, kami dah tak ada saksi lain untuk dipanggil beri keterangan, kami serahkan kepada mahkamah.”

Rofiah menangguhkan prosiding seketika tanpa membuat sebarang keputusan.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan pasukan pengendali inkues untuk memanggil semula pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi untuk memberi keterangan.

Permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula saksi ke-24 itu dibuat selepas saksi ke-29, Prof Shahrom memberi keterangan dalam inkues itu.

Pada 17 Mei lalu, keadaan dalam mahkamah tegang apabila Syazlin mengasak Hafizam dengan beberapa soalan.

“Saya bukan berniat mengelirukan mahkamah dan bukannya mahu dimalukan di mahkamah. Saya pun penjawat awam. Tak sepatutnya saya dimalukan dalam inkues,” kata Hafizam.

Ketegangan itu tercetus apabila Hafizam dilaporkan berkata, kesan lebam pada badan mangsa mungkin disebabkan manipulasi pesakit ketika anggota bomba itu dirawat di Institut Jantung Negara.

“Dalam kes ini, mangsa meninggal dunia selepas 21 hari mendapat rawatan. Dalam rawatan, ada pergerakan tertentu dan manipulasi badan pada kiri dan kanan.

“Lebam boleh berlaku semasa rawatan. Hasil bedah siasat, lebam tak padan dengan kesan ditarik.”

Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, pada 27 November 2018.

Beliau meninggal dunia 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di IJN.

Keputusan saat akhir

Syazlin ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau baru membuat keputusan penarikan diri daripada inkues itu hari ini.

“Baru saja (putuskan untuk tarik diri),” katanya ketika ditanya sama ada keputusan mengejut itu dibuat atas tekanan mana-mana pihak.

Beliau turut meminta wartawan merujuk keputusannya kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“No komen, tanya YB menteri.”

Terdahulu, Syazlin memberitahu mahkamah, beliau sudah memaklumkan keputusan penarikan diri itu kepada menteri dan peguam negara akan berbincang dengan menteri untuk memilih penggantinya.

“Saya difahamkan menteri dan bomba kekal sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini.”

Selepas hampir sejam prosiding inkues ditangguhkan, Rofiah menetapkan 26 Jun ini untuk memuktamadkan 3 isu utama, iaitu menentukan pengganti Syazlin sebagai peguam KPKT, JBPM dan keluarga Adib, memutuskan sama ada Shahrom akan dipanggil semula serta memilih pakar fizik sebagai saksi baru.

“Memandangkan pihak KPKT dan bomba merupakan pihak berkepentingan, inkues ini tidak boleh diteruskan tanpa pihak berkepentingan (jika peguam tarik diri).”