Iran tahan 30 individu sertai kelas yoga bercampur jantina

Iran melarang aktiviti sukan yang bercampur lelaki dan wanita, selain terus mengharamkan pengajaran yoga di peringkat profesional.

PETALING JAYA: Pihak berkuasa Iran, baru-baru ini menahan 30 individu yang mengikuti kelas yoga bercampur jantina di kediaman persendirian di bandar utara Gorgan, lapor portal Stepfeed.

Laporan itu mendedahkan polis mengetahui mengenai kelas yoga tersebut selepas ia diiklankan di Instagram, platform media sosial yang dikawal ketat di negara itu.

Pegawai jabatan keadilan tempatan, Massoud Soleimani dipetik sebagai berkata pengajar yoga yang turut ditahan itu tidak memperoleh lesen untuk menjalankan kelas berkenaan, selain mengiklankannya di Instagram.

Katanya, mereka yang ditahan mengambil bahagian dalam kelas yoga yang “memakai pakaian yang tidak sesuai dan melakukan aksi yang tidak sesuai.”

Iran tegas dalam melarang aktiviti sukan yang bercampur antara lelaki dan wanita serta terus mengharamkan pengajaran yoga di peringkat profesional.

Sebelum ini, Iran melarang pengajaran bahasa Inggeris di sekolah rendahnya selepas pemimpin Islam memberi amaran mengatakan pembelajaran awal bahasa itu membuka jalan kepada “penaklukan budaya” Barat.

Pengajaran bahasa Inggeris biasanya bermula di sekolah menengah rendah di Iran, lebih kurang pada umur 12 hingga 14, tetapi terdapat juga sekolah rendah yang mempunyai kelas bahasa Inggeris untuk pelajar lebih muda.