UiTM lantik usahawan Vivy Yusof atas pertimbangan profesional, kata menteri

UiTM lantik usahawan Vivy Yusof atas pertimbangan profesional, kata menteri

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata usahawan e-dagang itu mempunyai pengaruh besar dalam kalangan anak muda dan boleh memberi suntikan semangat kepada pelajar UiTM.

Vivy Yusof ialah ketua pegawai kreatif FashionValet dan pengasas bersama The dUCk Group. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Pelantikan usahawan e-dagang, Vivy Yusof sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) merupakan keputusan lembaga pengurusan universiti itu, kata Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.

Beliau berkata, keputusan UiTM itu berdasarkan pertimbangan profesional dengan melihat potensi Vivy sebagai seorang usahawan berjaya di samping boleh memberi suntikan semangat kepada pelajar UiTM.

“Saya dimaklumkan lembaga pengurusan universiti bahawa beliau (Vivy) mempunyai pengaruh besar dalam kalangan anak muda dan dilihat sebagai ikon untuk mereka maju.

“Pelantikan ini juga melihat kepada potensi UiTM membangunkan bidang keusahawanan, selain peluang yang boleh dibawa oleh Vivy ke UiTM,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini ketika diminta mengulas pelantikan Vivy yang dipertikai beberapa pihak.

Wakil Alumni Keusahawanan UiTM, Ahmad Muzakkir Hamid dilaporkan menyifatkan pelantikan itu ibarat “menolak” kredibiliti lebih 800,000 alumni institusi berkenaan.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof Mohd Azraai Kassim berkata pihaknya yakin pelantikan Vivy yang merupakan ketua pegawai kreatif di FashionValet serta pengasas bersama The dUCk Group akan memberi inspirasi kepada pelajar universiti itu dalam meneroka peluang perniagaan baru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.