Langkah AS kenakan tarif ke atas import dari Mexico undang pelbagai reaksi

Menurut Jabatan Perdagangan AS, pada 2018, nilai import AS dari Mexico sebanyak AS$346.5 bilion. (Gambar AFP)

WASHINGTON: Pemangku ketua turus Rumah Putih Mick Mulvaney pada Ahad mempertahankan tindakan presiden Donald Trump mengenakan tarif ke atas semua barangan import dari Mexico untuk menangani kebanjiran migran haram, lapor agensi berita Xinhua.

“Presiden serius untuk memulihkan keadaan di sempadan selatan,” kata Mulvaney kepada Fox News.

Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengumumkan akan mengenakan tarif baru sebanyak 5% ke atas semua barangan import Mexico mulai 10 Jun, sebagai langkah untuk menekan negara itu menghentikan kebanjiran pendatang tanpa izin yang melintasi sempadan.

“Mulai 10 Jun, AS akan mengenakan 5% tarif ke atas semua barangan yang masuk ke negara kita dari Mexico, sehingga tiada lagi migran haram masuk melalui Mexico ke negara kita.

“Tarif itu kan dinaikkan secara beransur-ansur sehingga masalah imigran haram selesai,” tulis Trump di Twitternya.

Bagaimanapun, senator Republikan, Chuck Grassley merangkap pengerusi Jawatankuasa Kewangan Senat, mengkritik langkah Trump itu.

“Dasar perdagangan dan keselamatan sempadan adalah isu berasingan. Presiden telah menyalahgunakan kuasa dalam perkara berhubungkait dengan tarif,” kata Grassley.

Wakil perdagangan AS, Robert Lighthizer berpendapat tarif itu akan menjejaskan ratifikasi Perjanjian AS-Mexico-Kanada, cadangan untuk menggantikan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara yang sebelum ini sudah berdepan pelbagai rintangan.

Pada 2018, nilai import AS ke atas barangan Mexico sebanyak AS$346.5 bilion, menurut Jabatan Perdagangan.

Naib presiden eksekutif dan ketua eksekutif dasar Dewan Perniagaan AS, menyifatkan langkah Trump itu adalah salah.

Presiden Majlis Pengilang Babi Kebangsaan, David Herring berkata “pengeluar daging babi Amerika tidak mampu membayar tarif yang akan dilaksanakan Mexico, pasaran eksport terbesarnya.”

“Kami merayu kepada presiden Trump untuk mempertimbangkan semula langkah itu,” kata Herring.