Kerajaan saman NFCorp babit kepentingan negara, kata peguam

Kerajaan saman NFCorp babit kepentingan negara, kata peguam

R Kengadharan berkata, tuntutan mendapatkan kembali pinjaman RM253 juta yang dipinjamkan kepada NFCorp sepatutnya dilakukan kerajaan terdahulu.

Mohamad Salleh Ismail ialah suami kepada bekas menteri, Shahrizat Abdul Jalil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang peguam hari ini mempertahankan keputusan Putrajaya mendapatkan kembali RM253 juta dipinjam kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) melalui prosiding mahkamah yang dibuat berdasarkan kepentingan negara.

R Kengadharan berkata, tindakan itu sepatutnya dilakukan kerajaan terdahulu Barisan Nasional.

“Jadi, pentadbiran baru tidak terburu-buru ke mahkamah untuk mendapatkan wang itu kerana di dilakukan atas kepentingan negara,” katanya kepada FMT.

Beliau membandingkan tindakan kerajaan dalam kes NFCorp terhadap usaha mendapatkan kembali aset 1MDB dari luar dan dalam negara kerana ia turut membabitkan dana awam.

Katanya, pihak terbabit boleh mencapai penyelesaian secara baik bagi mengelakkan prosiding mahkamah berpanjangan.

“Dengan syarat defendan memenuhi tuntutan kerajaan sebelum merekodkan penghakiman.”

Kengadharan mengulas tindakan Pengerusi NFCorp, Mohamad Salleh Ismail mempersoalkan tuntutan difailkan Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan kembali wang itu dengan berkata, NFCorp menawarkan pembayaran penuh pinjaman itu 7 bulan lalu.

Salleh yang merupakan suami bekas ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil bagaimanapun berkata, beliau akan bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan untuk memastikan isu itu diselesaikan dengan cara terbaik.

Pada 2007, kerajaan meluluskan pinjaman RM250 juta kepada NFCorp untuk menjadikan industri lembu tempatan sebagai perniagaan berskala besar supaya Malaysia boleh menghasilkan daging lembu mencukupi.

Jumaat lalu, Putrajaya memfailkan satu tuntutan terhadap NFCorp yang diuruskan keluarga Salleh.

Ia menamakan Salleh, 3 anak pasangan itu dan 6 syarikat milik keluarga itu sebagai defendan dalam pernyataan tuntutannya.

Menurut laporan, sejumlah RM253.62 juta dipinjamkan kepada NFCorp, bersama kadar faedah tahunan 2% dan faedah tambahan kerana kegagalan membayar hutang.

Putrajaya turut memohon perisytiharan untuk keluarga Salleh bertanggungjawab untuk pembayaran balik hutang RM118.04 juta yang didakwa diseleweng dari pinjaman itu.

Katanya, ia juga berhak menuntut jak saksama terhadap hartanah yang dibeli menggunakan pinjaman RM250 juta daripada kerajaan.

Laporan Ketua Audit Negara pada 2011 mendedahkan skandal berkaitan NFC bersama pembabitan keluarga Shahrizat dalam projek itu.

Shahrizat berundur daripada jawatan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat pada April April 2012.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.