Rekaan sampul duit raya pelukis dapat sambutan baik

Rekaan sampul duit raya pelukis dapat sambutan baik

Usahawan muda dari Melaka, Izzati Suza terpaksa bersengkang mata selama 3 minggu untuk menyiapkan 200 set sampul duit raya.

Izzati Suza bercadang menghasilkan ‘ang pow’ bagi perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali.
SHAH ALAM:
Pelukis dari Melaka, Izzati Suza yang bosan selepas selesai bersahur, tiba-tiba mendapat ilham untuk mereka sampul duit raya tersendiri.

Wanita berusia 24 tahun itu mula menconteng rekaan menampilkan suasana beraya di kampung halaman.

Di Malaysia, ibu bapa dan orang lebih tua memberi duit raya kepada kanak-kanak sebagai sebahagian tradisi sambutan Aidilfitri.

Duit akan dimasukkan ke sampul yang dihiasi rekaan atau lukisan.

“Ibu saya mencadangkan saya mereka sampul duit raya. Saya rasa itu adalah idea baik,” katanya kepada FMT baru-baru ini.

Beliau hanya perlu melukis gambar ringkas yang mencerminkan semangat Hari Raya. Tidak lama kemudian, beliau menyiapkan 5 rekaan berbeza.

Ia termasuk seorang lelaki membuat dodol, seorang wanita berbaju kurung, seorang lagi memakai perhiasan “Selamat Hari Raya” serta suasana beraya di kampung halaman.

“Selepas selesai melukis, saya hantarnya kepada pencetak. Pada mulanya saya tempah 30 set, setiap satu mengandungi 5 rekaan berbeza.”

Beliau kemudiannya memotong dan menampal 150 sampul itu bersama, proses yang lebih memakan masa daripada jangkaannya.

Seleps memuat naik imej sampul itu ke Instagram dan Twitter, beliau mula menerima pertanyaan mengenainya.

“Saya terkejut dengan ramai yang mahu membelinya.

“Daripada 30 set menjadi 200 set. Selama 3 minggu, saya terpaksa bersengkang mata dengan hanya memotong dan menampal sampul demi sampul.

“Saya selalu pandang ibu saya tidur dan berharap saya sedang tidur juga,” katanya sambil ketawa.

Keesokannya, beliau ke pejabat pos untuk menghantar sampul duit raya kepada pelanggan.

Lima rekaan sampul duit raya yang dihasilkan Izzati Suza.

Izzati pernah terfikir mahu berhenti kerana kerja itu semakin sukar. Tetapi, beliau bertahan dan percaya niat baiknya akan dimudahkan Tuhan.

“Saya mula melukis sejak saya kecil. Saya suka lihat dan lukis orang. Disebabkan saya tak banyak melancong, peluang saya datang apabila saya ke pusat beli-belah dan berjumpa kawan.”

Katanya, bapanya ialah sumber ilhamnya untuk menceburi bidang seni dan ibunya selaku penyokong terbesar mencadangkan beliau meneruskan bidang seni sepenuh masa.

Ketika belajar bidang seni bina pada 2015, bapanya yang juga seorang anggota polis di Kemaman, Terengganu terbabit dalam satu kemalangan kereta yang menyebabkannya terlantar di katil dan tidak dapat bercakap akibat kecederaan otak.

Izzati tidak meneruskan pelajaran di kolej untuk menjaga bapanya selama 3 tahun sehingga beliau meninggal dunia tahun lalu pada usia 59 tahun.

Beliau kini memiliki sebuah kedai di Melaka yang menjual pelekat, lencana, kasut, baju dan beg tempahan khas. Beliau menamakannya Kedai Suza untuk memperingati bapanya.

“Ibu masih menjadi penyokong paling kuat saya. Saya gelarnya ‘mamager’. Beliau yakin pada saya dan sering mengingatkan saya untuk membuat kelainan.”

Dengan kejayaan sampul duit raya tanpa dijangka, beliau bercadang menghasilkan “ang pow” bagi perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Walaupun beliau belum meraih keuntungan besar daripada penghasilan sampul duit raya, masa depannya kelihatan cerah.

Set sampul duit raya terhad masih boleh didapati melalui akaun Instagram and Twitternya. Hasil kerjanya turut dimuat naik ke YouTube “kobis menghijo”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.