
“Ini merupakan berita baik, khususnya untuk kalangan pekebun kecil,” kata ketua pegawai eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Chew Jit Seng, baru-baru ini.
Setakat akhir April lepas, hanya 32% daripada sejumlah 5.85 juta hektar ladang sawit dan 39% daripada 451 kilang minyak sawit di negara ini memiliki pensijilan MSPO, katanya.
Seperti diumumkan sebelum ini, aspek piawaian MSPO akan diwajibkan bagi seluruh industri terbabit menjelang akhir tahun ini.
Pihak industri diberi tempoh sehingga 31 Disember tahun lepas untuk memiliki pensijilan MSPO jika sudah mempunyai pensijilan Rundingan Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO) bagi memenuhi syarat insentif sedia ada, manakala tempoh sehingga 30 Jun 2019 ditetapkan jika tiada RSPO atau Pensijilan Kemampanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC).
Bagi pekebun kecil pula, kerajaan memberi tempoh lanjutan paling lama untuk mendapatkan pensijilan MSPO, iaitu sehingga 31 Dis, 2019.
Menurut Chew, susulan pengumuman itu, MPOCC menjangkakan pekebun kecil akan bedepan cabaran dari segi sumber serta kapasiti untuk mematuhi piawaian MSPO, tetapi mereka akan dibantu oleh Kementerian Industri Utama serta agensinya.
“Kami dapati ada antara mereka berhasrat mengecilkan saiz kawasan ladang masing-masing dan mengusahakan tanaman lain sebagai alternatif. .
“Apa yang kami bimbangkan adalah kelompok pekebun kecil (dengan keluasan ladang kurang daripada 100 ekar) dan penanam kecil dan sederhana yang memiliki 100 ekar atau 40.46 hektar sehingga hingga 1,000 hektar.
“Pekebun ini, terutama di kawasan pedalaman, memerlukan lebih banyak bimbingan kerana ada antara mereka kurang sedar atau terlibat dalam proses pensijilan itu,” katanya.
Insentif sedia ada yang bertujuan melonjakkan penyertaan bagi pemilikan sijil MSPO, adalah merangkumi sepenuhnya kos audit dan persiapan pensijilan itu untuk pekebun kecil.
“Skim insentif baru akan turut menampung sepenuhnya kos audit pekebun kecil dan sederhana serta kos untuk menjadi lebih mampan dalam jangka panjang,” katanya.
Untuk pekebun kecil persendirian, kerajaan pada masa ini memberi RM135 sehektar sebagai insentif MSPO tersebut.
“Bagaimanapun, untuk pekebun kecil di bawah pelbagai skim tanah rancangan seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), mereka diberi RM10 sehektar.
“Oleh itu wujud perbezaan yang amat ketara.
“Sehubungan itu, kerajaan akan merasionalkan skim insentif tersebut bagi memastikan semua pihak menikmatinya dengan keutamaan kepada pekebun kecil dan penanam kecil dan sederhana,” katanya.
Chew berkata sistem pensijilan MSPO diuruskan syarikat audit pihak ke-3 (badan pensijilan atau CB) yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM).
Terdapat 14 CB yang mempunyai akreditasi setakat ini dan JSM kini dalam proses mengakreditasi 4 lagi CB di negara ini.
Pihak MPOB akan mengunjungi ladang pekebun kecil bagi memastikan kawasan itu memenuhi semua syarat ditetapkan oleh piawaian MSPO sebelum disenaraikan bagi tujuan audit sebenar.
“MPOB menyenaraikan pekebun kecil persendirian dalam 162 kelompok atau Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) dan sejumlah 114 SPOC disahkan oleh pihak majlis, setakat ini,” katanya.
“Ini merupakan tugas sukar (kerana membabitkan pelbagai prosedur dan pembiayaan), namun dengan sokongan padu kerajaan, kami yakin dapat mencapai sasaran 100% menjelang akhir 2019,” katanya.
Chew berkata, usaha memenuhi syarat kemampanan yang ditetapkan oleh negara pengimport juga menjadi perkara teras memandangkan hampir 90% minyak sawit Malaysia dan produknya adalah bagi tujuan eksport.
“Ini turut menyuntik aspek penjenamaan yang baik terhadap komoditi kita,” katanya.
China yang merupakan antara pembeli utama minyak sawit Malaysia, juga didapati lebih banyak menumpukan aspek makanan hijau dan soal kemampanan.
“Baru-baru ini, MPOCC memeterai memorandum persefahaman dengan Pusat Pengembangan Makanan Hijau China bagi pengiktirafan bersama pensijilan ‘Makanan Hijau’ dan MSPO.
Selain itu, Chew berkata, kerajaan dan agensi berkaitan akan turut mempromosikan minyak sawit berstatus MSPO ke India pada akhir tahun ini.
“Pesaing utama, iaitu Indonesia turut melaksanakan Sistem Pensijilan Minyak Sawit Mampan (ISPO).
“Bagaimanapun, Indonesia tidak banyak melabur dalam usaha mempromosikan minyak sawit dengan ISPO.
“Sebaliknya ia menumpukan usaha kepada jualan komoditi itu pada harga lebih rendah berikutan pengeluaran minyak sawit mentah yang tinggi,” katanya.
Justeru kata beliau, ia menjadi kelebihan minyak sawit Malaysia di pasaran, iaitu sebagai hasil yang diiktiraf dengan pensijilan MSPO.