Lembaga ikan mahu main peranan dalam isu tambakan laut P Pinang

LUMUT: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan memainkan peranan sewajarnya berhubung projek tambakan laut serta aktiviti mengorek pasir membabitkan Pulau Pinang dan Perak yang menimbulkan keresahan komuniti nelayan.

Pengerusi Muhammad Faiz Fadzil berkata pihaknya akan menjadi orang tengah antara 2 kerajaan negeri tersebut dalam memastikan setiap wakil negeri menerima maklumat dan melakukan perbincangan sewajarnya.

Katanya, melalui usaha itu juga kebajikan nelayan dapat dijaga serta satu mekanisme baru dapat diperolehi hasil daripada perbincangan itu.

“Pastinya jika aktiviti mengorek pasir dijalankan ia akan menjejaskan kawasan terbabit dari aspek muka bumi, habitat hidupan laut dan pendapatan nelayan yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai tumpuan tangkapan ikan.

“LKIM perlu memainkan peranan dengan mengalu-alukan perbincangan antara kerajaan Pulau Pinang dan Perak bagi mendapatkan taklimat secukupnya,” katanya kepada pemberita di program bersama kakitangan LKIM Perak dan persatuan nelayan di Sitiawan hari ini.

Beliau mengulas Projek Penang South Reclamation (PSR) yang bakal dijalankan di selatan perairan Pulau Pinang yang mendapat bantahan nelayan kerana ia memberi kesan terhadap alam sekitar dan ekosistem.

Sementara itu, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata setakat ini belum ada perbincangan dengan kerajaan Pulau Pinang mengenai isu berkenaan.

Beliau bercadang untuk memanggil kontraktor terlibat bagi mendapat perkembangan projek itu khususnya di perairan Perak.

“Saya akan membawa perkara ini dalam mesyuarat Exco dan menurut laporan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) isu berkenaan didakwa menjejaskan lebih 6,000 nelayan,” katanya.