Pemimpin Upko gesa Petronas bantu kontraktor O&G Sabah berkembang

Sabah mengeluarkan hampir 50% output petroleum negara, kata ketua Pemuda Upko Felix Saang. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Upko Felix Saang menggesa syarikat minyak negara Petronas memberi lebih banyak peluang kepada kontraktor minyak dan gas (O&G) Sabah, yang menurutnya hanya diberikan kerja-kerja kecil berbanding syarikat besar.

Beliau berkata, syarikat tempatan harus diberikan keutamaan kerana mereka pendatang baru dan tidak mampu bersaing dengan syarikat lebih kukuh dari semenanjung dan Sarawak.

Tambahnya, kontraktor ini perlukan sokongan sehingga mereka mampu bersaing di padang yang sama rata.

“Saya difahamkan banyak kontraktor O&G Sabah berada dalam keadaan terdesak kerana mereka perlu ada pengalaman dan saiz sebelum mampu membida kontrak, tetapi pada masa sama mereka perlukan kontrak bagi mendapatkan pengalaman dan berkembang.

“Saya faham Petronas bertindak atas kepentingan perniagaannya, tetapi sebagai syarikat kerajaan yang ditugaskan menjaga kekayaan galian negara, ia harus bersikap lebih bertimbang rasa dan mengambil tanggungjawab membantu syarikat tempatan di tempat di mana ia beroperasi,” kata Saang.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco Pemuda Upko di sini, beliau berkata, kerja yang diberikan kepada kontraktor Sabah terhad kepada pembekalan pekerja, katering dan kerja subkontrak lain. Kontrak lebih besar diberikan kepada orang luar, tambahnya..

Katanya, adalah tidak adil kepada kontraktor tempatan yang penglibatan mereka sangat minimum sedangkan Petronas beroperasi di perairan Sabah.

“Mereka hanya menjadi pemerhati. Melihat kek ekonomi diambil oleh orang lain tanpa boleh berbuat apa-apa,” katanya.

“Jika keadaan ini berterusan, bagaimanakah kontraktor tempatan kita boleh berkembang dari segi ekonomi, skala dan kemahiran yang akan membolehkan mereka membida kontrak utama daripada Petronas dan syarikat huluan lain seperti Shell dan Repsol?”

Felix Saang.

Saang berkata, sebagai subkontraktor, nasib syarikat Sabah tertakluk kepada kontraktor utama, yang menurutnya, kadang-kadang melambatkan pembayaran dan menyekat pemindahan teknologi kepada kontraktor tempatan.

“Dalam Malaysia Baru, Petronas perlu mengetepikan amalan lama yang menyisihkan orang tempatan daripada projek sebelum ini di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Sabah perlu menjadi penerima manfaat utama kekayaan negeri, termasuk minyak dan gas, terutama sekali dalam keadaan negeri itu mengeluarkan hampir 50% output petroleum negara.

Beliau menggesa kerajaan negeri supaya berunding semula dengan Petronas bagi menuntut supaya hak Sabah dihormati dan syarikat itu memberi keutamaan kepada syarikat dan tenaga kerja tempatan.

Saang berkata, beliau diberitahu bahawa Petronas dan rakan kongsi kontrak perkongsian pengeluarannya membelanjakan kira-kira RM5 bilion setahun untuk menjalankan dan menyelenggara operasi di Sabah, satu jumlah yang lebih besar daripada belanjawan tahunan negeri itu.

“Bagaimanapun perbelanjaan yang begitu besar tidak banyak memberi manfaat kepada rakyat Sabah. Kerja masih kurang dan sektor minyak serta gas yang menguntungkan dikuasai oleh orang luar.”