Penyusun jadual tak boleh sahkan Azmin, Haziq bertemu atau tidak

Penyusun jadual tak boleh sahkan Azmin, Haziq bertemu atau tidak

Haziq meminta butiran perjalanan dan lokasi penginapan Azmin pada PRK Sandakan, kata Blisson Zainuddin.

Blission (2 dari kiri) bertemu pemberita hari ini di sebuah restoran di ibu negara.
KUALA LUMPUR:
Seorang pemimpin Pemuda PKR Sabah, yang mendakwa dirinya penyusun dan pengurus jadual pemimpin Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Parlimen Sandakan, tidak boleh mengesahkan Mohamed Azmin Ali dan Haziq Abdullah Abdul Aziz bertemu atau tidak dalam tempoh itu.

Timbalan Ketua Pemuda, Blission Zainuddin bagaimanapun mengesahkan Azmin menginap di Hotel Four Points Sandakan.

“Itu di luar pengetahuan saya,” katanya mengenai pertemuan Azmin dan Haziq. “Setakat yang saya tahu Azmin memang menginap di Hotel Four Points Sandakan seperti dalam jadual, namun saya tidak tahu sama ada benar atau tidak Azmin dan Haziq bertemu.”

Blission berkata demikian pada satu sidang media hari ini, di mana beliau mendakwa Haziq meminta butiran perjalanan dan lokasi penginapan Azmin sempena PRK itu.

Menurut Blission, Haziq memaklumkan butiran itu untuk merancang kempen majikannya, Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Md Akin.

“Saya terlibat dalam jentera PH dan antara tanggungjawab saya ialah menyusun dan menguruskan pergerakan pemimpin, khususnya PKR, termasuklah Azmin dan beberapa orang menteri dan timbalan menteri,” katanya.

Blission menunjukkan kepada pemberita perbualannya dengan Haziq dalam WhatsApp.

“Jika benar dia punya hubungan sebelum PRK Sandakan lagi, kenapa pula dia harus mendesak saya bagi mendapatkan butiran. Jika benar mereka intim, maka sudah pasti dia berhubung,” katanya.

Pada Rabu, Haziq menggemparkan negara apabila mendakwa dirinya terbabit dalam klip video seks sejenis yang tersebar di WhatsApp.

Beliau menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam klip video seks itu dan mendakwa kelakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil Parlimen itu baru-baru ini.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya komplot jahat untuk mencemarkan reputasi, keperibadiannya dan memusnahkan kerjaya politiknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.