RCI Wang Kelian: Khalid pertahan arahan ‘hold on’

RCI Wang Kelian: Khalid pertahan arahan ‘hold on’

Bekas KPN membuat arahan supaya satu siasatan lengkap dibuat termasuk mengesahkan kem tersebut benar-benar berada di kawasan Malaysia.

Khalid Abu Bakar ketika hadir sebagai saksi ke-47 dalam pendengaran awam RCI Wang Kelian di Putrajaya.
PUTRAJAYA:
Bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar mempertahankan tindakannya mengarahkan bekas ketua polis Perlis, Zul Aznam Haron menangguhkan tindakan segera susulan penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian, 4 tahun lalu.

Khalid memberitahu ahli panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat tragedi itu, beliau membuat arahan supaya satu siasatan lengkap dibuat termasuk mengesahkan kem tersebut benar-benar berada di kawasan Malaysia.

Katanya, ketua polis Perlis pada masa itu juga tidak dapat pastikan lokasi penemuan kubur itu berada di kawasan Malaysia atau Thailand.

“Saya beri arahan kepada bekas ketua polis Perlis pada masa itu untuk ‘hold on’ tindakan sehingga beliau pastikan lokasi berkenaan dalam Malaysia atau Thailand.

“Saya juga tanya kepada ketua polis Perlis ada maklumat lanjut tetapi beliau tidak dapat beri jawapan, sebab itu saya berikan arahan untuk ‘hold’ dan siasat serta kenal pasti siapa terlibat.

“Kita kena pastikan dulu lokasi dalam kawasan kita (Malaysia) sebab isu sempadan perkara sensitif yang boleh menyebabkan 2 negara bertelingkah nanti,” katanya sambil memaklumkan jika tindakan diambil dalam kawasan Thailand, ia merupakan satu pelangaran undang-undang.

Beliau berkata demikian menjawab pertayaan ahli panel yang membangkitkan mengapa pihak polis mengambil masa 4 bulan dari tarikh penemuan untuk bertindak dan mengesahkan kawasan lokasi.

“Kita tak dapat kenal pasti lokasi sebab tertangguh, kedua mereka (pihak polis) nak kumpul maklumat siapa pelaku, kerana masa ketua polis Perlis beri taklimat pada waktu itu, apabila ditanya apa maklumat kita ada, dia tidak boleh beri maklumat, jadi saya kira tempoh (4 bulan) itu untuk mereka kumpul maklumat dan tukar maklumat dengan pihak berkuasa Thailand,” katanya.

Khalid merupakan saksi ke-47 dalam pendengaran awam yang diadakan di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.

Khalid juga menafikan pihaknya tidak bertindak dengan serius untuk menyiasat kes terbabit.

“Saya juga arahkan supaya bekas timbalan ketua polis, Noor Rashid supaya memberi taklimat dari masa ke semasa, tidak benar jika nak kata saya tidak ambil berat isu ini.

“Saya tidak perlu hebahkan kepada umum, saya ada timbalan ketua polis negara untuk jawab, ketua dan pengarah negeri saya berikan kepercayaan penuh untuk uruskan,” katanya.

Khalid berkata, pihaknya juga tidak melakukan sebarang perjanjian dengan pihak Thailand supaya kes penemuan itu ditangguhkan.

“Kita hanya tukar maklumat dengan pihak Thailand, berkenaan dakwaan saya beri maklumat wujudnya perjanjian dengan pihak Thailand untuk tangguh kes ini saya tidak setuju.

Khalid juga memberitahu panel, beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya di Thailand dan memaklumkan apa yang berlaku ketika mengadakan pertemuan di Phuket.

“Saya memintanya untuk memeriksa kawasan di sebelah pihaknya. Saya memberitahu kepadanya satu kawasan penempatan haram ditemui, tetapi saya tidak mendapat apa-apa maklum balas daripadanya,” katanya.

Khalid berkata pihaknya juga tidak menafikan terdapat unsur rasuah berlaku di sempadan, sebaliknya pihaknya tiada bukti jika ahli politik atau pegawai tertinggi polis terlibat.

“Sehingga saya bersara, tiada siapa yang boleh menunjukkan kepada saya jika anggota polis terlibat.

“Hasil siasatan juga kita berjaya tuduh beberapa suspek dan kenal pasti sebagai orang yang dikehendaki polis, tindakan ini diambil di bawah Sosma,” katanya.

Tak puas hati

Khalid berkata beliau juga tidak berpuas hati dengan prestasi polis Perlis pada awal penemuan kem kerana tidak dapat banyak maklumat yang diberikan.

“Bila minta maklumat lanjut siapa bertanggubgjawab dia (ketua polis Perlis) tidak dapat bagi, jadi memanglah saya tidak puas hati masa itu. Dia juga tahu saya tidak puas hati dan saya arahkan supaya dapatkan maklumat lanjut.

“Selepas itu tiada maklumat diberikan berkenaan penglibatan mana-mana pihak atau orang tertentu mengenai kem, siasatan kita juga tunjukkan tiada pihak sebelah sini (Malaysia) terlibat dalam penemuan ini,” katanya.

Zul Aznam ketika memberi keterangan kepada RCI sebelum ini berkata beliau diminta menunggu dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut, selepas memaklumkan penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian.

Katanya, arahan itu diberikan Khalid ketika beliau menghubunginya pada 20 Januari 2015, selepas mendapat maklumat mengenai penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur beramai-ramai itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.