Kaji subjek agama: Ikatan dakwa Teo ‘lebih sudu daripada kuah’

Teo Nie Ching berkata Kementerian Pendidikan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) untuk mengkaji aspek mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan.

PETALING JAYA: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menyelar tindakan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching yang menubuhkan pasukan khas untuk mengkaji subjek Pendidikan Islam sekolah rendah dengan mengajak individu, kumpulan atau institusi tanpa mengira agama mengemukakan cadangan.

Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata Teo “lebih sudu daripada kuah” apabila mendahului Maszlee Malik dalam mengutarakan cadangan kepada rakyat berkaitan pendidikan negara.

“Cadangan menjemput sesiapa sahaja tanpa mengira agama bakal mencetuskan kecelaruan dalam masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan guru dan murid sekolah.

“Seharusnya jemputan tersebut ditujukan kepada golongan yang arif dengan agama Islam dan golongan pendidik beragama Islam, yang sememangnya mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.

“Bagaimanakah seorang individu beragama Kristian, Hindu, Buddha atau Athiest boleh memberikan cadangan membina untuk menambah baik mata pelajaran Pendidikan Islam seperti ibadat solat, puasa, zakat, dan haji jika mereka tidak pernah melakukan ibadat tersebut?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Teo dilaporkan berkata Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) ditubuhkan untuk mengkaji aspek mata pelajaran Pendidikan Islam sekolah kebangsaan dan mencadangkan penambahbaikan bermanfaat kepada murid, guru, ibu bapa dan masyarakat.

Mengulas lanjut, Shahir menggesa Maszlee bersikap lebih proaktif berkaitan hal pendidikan negara dengan berkomunikasi dengan timbalannya.

“Sepanjang tempoh lebih setahun Pakatan Harapan memerintah negara, kita melihat timbalan menteri tanpa segan silu melangkaui kenyataan atau keputusan bos sendiri.

“Akibatnya, banyak kenyataan pusingan-U dibuat oleh menteri untuk memperbetulkan kenyataan,” katanya.

Shahir juga menyeru rakyat beragama Islam terutama mufti dan ulama memberi nasihat dan pandangan kepada menteri pendidikan bagi mengelakkan Islam diperkotak-katikkan melalui pendidikan di peringkat sekolah rendah.