Malaysia perlu bertindak cepat raih manfaat perang dagang AS-China

Sebuah badan pemikir antara lain mencadangkan Putrajaya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh asas ekonomi dan memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia.

KUALA LUMPUR: Sebuah badan pemikir berkata, Malaysia boleh meraih manfaat daripada perang perdagangan yang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dengan China, tetapi Putrajaya perlu bertindak cepat dengan memudahkan peralihan perdagangan dan petempatan semula perniagaan.

Pada satu taklimat media hari ini, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie berkata, sektor elektrik dan elektronik khasnya boleh meraih manfaat daripada perang perdagangan yang berlaku.

Bagaimanapun kata beliau, ia bergantung sama ada wujud pengganti bagi produk yang terkesan oleh perang perdagangan itu dan halangan yang dihadapi syarikat, misalnya kekurangan tenaga kerja.

Beliau berkata, pelabur di China dan AS, akan merangka strategi pempelbagaian jangka panjang susulan perang itu kini memasuki usia setahunnya.

“Pelajaran yang boleh diambil daripada perang ini ialah kita tidak boleh meletakkan semua wang di satu tempat, sebaliknya terus mempelbagaikan pelaburan, pembekal, pasaran dan juga produk. Justeru, kita tidak akan terhimpit olehnya.”

Katanya, Putrajaya harus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh asas ekonomi dan memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia bukan sahaja sebagai pusat pengeluaran, tetapi juga sebagai hab pemindahan ke kapal.

“Ia boleh menimbang untuk mengadakan skim kredit eksport bagi membolehkan SME memperkuat kapisiti eksport mereka, mengurangkan duti eksport ke atas bahan mentah, membantu penerokaan pasaran baru dan menyediakan insentif bagi menarik syarikat antarabangsa membuka hab utama mereka di Malaysia.”

Lee juga berkata, kerajaan perlu memaklumkan kemajuan rundingan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Asia Pasifik (CPTPP) yang sedang berjalan dan mempercepat penyempurnaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Selain itu kata beliau, kerajaan juga boleh merangka rancangan bagi merangsang lebih banyak pelaburan domestik dan menarik pelaburan asing langsung (FDI) yang bermutu tinggi.

“Kita berjaya menarik banyak FDI yang diluluskan, tetapi pelaburan domestik yang diluluskan (DDI) terus mengecut dalam suku pertama tahun ini kepada hampir 30.5%.

“Kita perlu mengimbangkan sumbangan FDI dan DDI.”

Beliau seterusnya mencadangkan agar kerajaan meneliti cara bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan, mengendurkan peraturan kawal selia, mengkaji semula insentif pelaburan dan mempercepatkan insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.