Kumpulan sivil pertikai kedudukan undang-undang pasukan petugas khas

Kumpulan sivil pertikai kedudukan undang-undang pasukan petugas khas

Pengerusi Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) berkata, pasukan petugas khas 6 anggota ditubuhkan di bawah undang-undang apa untuk menyiasat semula penemuan Suhakam.

Inkuiri Suhakam pada 3 April lalu menyimpulkan Raymond Koh (kiri) dan Amri Che Mat ialah mangsa kehilangan paksa membabitkan Cawangan Khas Bukit Aman.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan sivil hari ini mempersoalkan kedudukan di sisi undang-undang pasukan petugas khas 6 anggota yang ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.

Pengerusi Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict), M Visvanathan berkata, pasukan petugas khas itu ditubuhkan di bawah undang-undang apa untuk menyiasat penemuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Adalah tidak jelas sama sekali buat masa ini undang-undang apa yang digunakan bagi membolehkan penubuhan pasukan petugas khas tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Suhakam mengadakan inkuiri di bawah Akta Suhakam 1999, manakala Suruhanjaya Siasatan Diraja mendapat kuasanya di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan inkues yang dijalankan koroner pula di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, Edict turut membantah anggota pasukan petugas khas itu, khasnya pelantikan bekas ketua Bahagian Perundangan PDRM, Mokhtar Mohd Noor, yang mewakili polis membuat penghujahan penutup dalam inkuiri Suhakam.

“Tindakan kerajaan melantik Mokhtar tidak mencerminkan keyakinan masyarakat yang siasatan telus dan berintegriti dapat dilaksanakan pasukan petugas khas itu,” katanya sambil menambah unit polis itu turut terbabit dalam siasatan yang tidak dijalankan secara menyeluruh ke atas penculikan 2 lelaki itu.

Visvanathan berkata, unit polis itu turut dilaporkan tidak memberi kerjasama penuh dalam inkuiri Suhakam.

Oleh itu, katanya, Mokhtar ternyata ialah pihak berkepentingan dan mempunyai percanggahan kepentingan.

Beliau berkata, penubuhan pasukan petugas khas itu jelas menunjukkan Putrajaya tidak yakin dengan hasil penemuan dan cadangan Suhakam.

“Kementerian Dalam Negeri sepatutnya mula mencari pegawai polis yang bertanggungjawab dalam kehilangan Koh dan Amri, bukannya mengulangi siasatan untuk mencari punca kehilangan (Amri dan Koh).”

Katanya, Edict meminta kerajaan tidak membazirkan masa dan dana awam untuk mengulangi kerja sia-sia.

Koh dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, sementara Amri yang merupakan pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016, selepas meninggalkan rumahnya di Kangar.

Pada 3 April lalu, inkuiri Suhakam ke atas kehilangan Koh dan Amri menyimpulkan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa membabitkan anggota polis Cawangan Khas.

Rabu lalu, kerajaan mengumumkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abd Rahim Uda untuk mengetuai pasukan petugas khas itu bagi menyiasat penemuan Suhakam yang mendakwa Cawangan Khas Bukit Aman terbabit dalam kehilangan paksa Koh dan Amri.

Selain Mokhtar, pasukan petugas khas itu turut dianggotai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Zamri Yahya, Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid, pegawai undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria dan setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis, Mohd Russaini Idrus.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, majoriti anggota pasukan petugas khas itu ialah pegawai polis, tetapi mereka tiada kaitan dengan Cawangan Khas yang didakwa terbabit dalam kehilangan Amri dan Koh.

Katanya, pasukan itu diberi 6 bulan untuk menyiapkan laporan yang akan dibentang kepada Kabinet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.