Mujahid di Beijing berucap tentang ‘berita palsu’ mengenai Xinjiang

Mujahid Yusof Rawa menghadiri pameran mengenai ‘terorisme’ di Xinjiang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Selepas penggunaan isitilah propaganda China untuk merujuk kepada kem tahanan Xinjiang dikritik warga Internet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai “berita palsu”.

“Berita palsu di China mengenai umat Islam ditindas boleh mencetuskan gelombang simpati pada orang yang ditindas dan menjejaskan hubungan,” kata Mujahid dalam ucapan yang disampaikan di Universiti Pengajian Luar Beijing semalam.

Beliau kemudian membuat perbandingan dengan dakwaan penganut Hindu di Malaysia dianiaya.

“Sementara berita palsu tentang penganut Hindu diperlakukan secara tidak adil oleh orang Islam di Malaysia contohnya boleh mencetuskan kebencian terhadap orang Islam minoriti di India,” katanya.

Kenyataan itu menyusuli kritikan terhadap Mujahid menggunakan istilah “pusat latihan” bagi merujuk kepada sebuah kem kontroversi yang ditubuhkan untuk “mendidik semula” penentang beragama Islam di wilayah Xinjiang yang bergolak.

Susulan lawatannya, Mujahid menulis di Facebook: “Pusat ini menjalankan aktiviti latihan perindustrian dengan pelbagai kemahiran seperti menjahit, kelas perundangan, seni, gubahan bunga dan sebagainya,” katanya di Facebook bersama gambar lawatannya.

Catatan itu mengundang kritikan daripada pengguna Facebook, yang berkata Mujahid mengulangi propaganda China apabila menggambarkan kem-kem tahanan di Xinjiang sebagai “pusat latihan”.

China pernah menafikan pendedahan-pendedahan mengenai kewujudan kem-kem tahanan seperti itu, tetapi kemudian berkata ia adalah “pusat-pusat vokasional” untuk “menyelamatkan” orang daripada pengaruh pelampau.

Badan-badan hak asasi sekian lama menuduh China bertindak keras terhadap penentangan di Xinjiang dengan alasan melawan ekstremisme orang Islam.

Dalam ucapannya, Mujahid berkata Malaysia dan China berkongsi pendekatan sama dalam mengintegrasikan kumpulan etnik berbeza.

“Malaysia mengamalkan integrasi nasional melalui pemeliharaan budaya dan tradisi setiap kumpulan etnik tetapi bersatu sebagai satu keluarga besar iaitu rakyat Malaysia.

“Republik Rakyat China (PRC) mengamalkan pendekatan sama dengan menjaga identiti setiap kumpulan etnik tetapi mengintegrasikan ke arah satu unit keluarga yang besar.”

Beliau berkata perlembagaan Malaysia dan China memperuntukkan hak bahawa setiap warganegara berhak mengamalkan agama mereka.

“Satu-satunya perbezaan perlembagaan Malaysia menetapkan Islam sebagai agama persekutuan, sementara PRC tidak menganggap mana-mana agama sebagai agama negara,” katanya.

Mujahid juga memuji usaha China memerangi ekstremisme.

“PRC juga secara aktif menggunakan pendekatan sedemikian dalam perjalanannya yang panjang untuk mewujudkan dunia yang aman dan harmoni.”