Bekas duta turut bidas Mujahid selepas lawatan ke pusat tahanan Xinjiang

Bekas duta turut bidas Mujahid selepas lawatan ke pusat tahanan Xinjiang

Dennis Ignatius berkata penindasan terhadap China bukan sesuatu yang direka, sebaliknya disahkan pelbagai sumber.

Mujahid Yusof Rawa sebelum ini ke ‘pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uighur’ di China. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Diplomat veteran dan bekas duta Dennis Ignatius menyelar sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa selepas kenyataan dan ucapannya yang dilihat seolah-olah menghalalkan tindakan Beijing menahan ribuan umat Islam Uighur di dalam kem yang kononnya menjadi “pusat latihan dan vokasional”.

Dennis, bekas duta besar Malaysia ke Kanada, berkata tindakan Mujahid itu menghina rakyat Malaysia yang prihatin terhadap hak asasi dan maruah manusia.

Menurutnya, apa yang berlaku di Xinjiang adalah jenayah terhadap kemanusiaan.

“Tetapi seorang menteri Malaysia Baru membenarkan dirinya digunakan dalam usaha China menutup jenayah mereka,” tulisnya dalam kolum terkini di FMT.

“Selepas melakukan ‘lawatan berpandu’ di mana tetamu melihat dan mendengar apa yang tuan rumah mahu dia lihat dan dengar, dia (Mujahid) beria-ia memuji ‘pusat latihan dan vokasional’ China terhadap Uighur.

“Dan bagaimana mereka menjalankan aktiviti ‘latihan perindustrian’ dan mengajar pelbagai kemahiran seperti menjahit, kelas undang-undang, seni dan gubahan bunga. Bolehkah seseorang itu menjadi terlalu lurus?” soalnya.

Mujahid sebelum ini berkongsi di Facebook tentang lawatannya ke sebuah kem yang menurut Beijing adalah “pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uighur”, penduduk Islam di wilayah Xinjiang yang berdepan pelbagai sekatan terhadap kebebasan budaya dan agama yang dikenakan parti komunis China.

Mujahid mengulang istilah “pusat latihan” itu sambil mengakhiri kenyataannya dengan “#RahmatanLilAlamin”. Ia mengundang pelbagai reaksi mengkritiknya di Facebook.

Antara yang mempertikaikan Mujahid ialah Amnesty International dan aktivis Islam Dr Ahmad Farouk Musa.

Farouk berkata Mujahid perlu sedar apa-apa yang dinamakan “kem pendidikan semula” itu sebenarnya adalah kem tahanan dan ia bukanlah rekaan Barat semata-mata.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Khaled Nordin mendakwa tindakan Mujahid menggunakan istilah “pusat latihan” terhadap kem itu memalukan umat Islam dan negara.

Dennis Ignatius.

Dennis turut mempertikaikan ucapan Mujahid di sebuah universiti di Beijing, di mana menteri tersebut menyentuh apa yang disifatkannya “berita palsu” mengenai nasib umat Islam China.

Menurut Dennis, pendirian Mujahid hanya akan memperkasa penindasan terhadap masyarakat Uighur.

“Tidak syak lagi, mereka kini akan menggunakan lawatan tersebut untuk terus membenarkan penindasan mereka terhadap Uighur yang bernasib malang,” katanya.

Mujahid dalam ucapan yang disampaikan di Universiti Pengajian Luar Beijing semalam, berkata: “Berita palsu di China mengenai umat Islam ditindas boleh mencetuskan gelombang simpati pada orang yang ditindas dan menjejaskan hubungan.”

Dennis menjelaskan, pelbagai sumber sudah mengesahkan lebih sejuta penduduk di Xinjiang dimasukkan ke dalam kem tahanan di wilayah itu.

“Di bawah nama memerangi keganasan, kerajaan China memulakan program intimidasi, penangkapan dan penyeksaan penduduk Uighur secara sistematik.

“Agama, bahasa dan budaya mereka ditindas sementara tanah mereka dikuasai pendatang dari bahagian lain di China.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.