Kerajaan akan balas budi rakyat pilih PH, kata Dr M

Kerajaan akan balas budi rakyat pilih PH, kata Dr M

Setelah PH mengambil alih pentadbiran negara, semua pihak kini sudah tidak lagi berada dalam ketakutan dan bebas membuat teguran kepada kerajaan.

Mahathir Mohamad berkata PH berjanji untuk berkongsi kekayaan negara dan perkenalkan dasar baru iaitu kemakmuran bersama.
KULIM:
Kerajaan akan membalas budi rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan parti untuk memimpin negara pada pilihan raya umum lepas.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun ada pihak yang berkata tiada pencapaian yang dibuat setelah PH menjadi kerajaan, namun sebenarnya sudah banyak yang dihasilkan oleh pemerintahan PH.

“Kita sudah selesaikan banyak masalah yang ditinggalkan parti lama (yang memerintah sebelum ini) dan kita percaya tak lama lagi keadaan negara kita akan pulih.

“Kita dah janji untuk berkongsi kekayaan negara dan kita perkenalkan dasar baru iaitu kemakmuran bersama… Kita akan tentukan tiada sesiapa akan tertinggal,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM Peringkat Nasional, malam tadi.

Mahathir berkata dasar baru kerajaan akan dapat direalisasikan selagi rakyat menyokong segala rancangan yang disusun kerajaan.

Beliau berkata bagi sektor pertanian, yang banyak melibatkan golongan miskin misalnya, bidang itu akan diperkenalkan dengan pelbagai pendekatan baru supaya rakyat di luar bandar dapat menikmati kemakmuran sama seperti di bandar.

Sementara itu, katanya setelah PH mengambil alih pentadbiran negara, semua pihak kini sudah tidak lagi berada dalam ketakutan dan bebas membuat teguran kepada kerajaan.

“Pemerintahan ini walaupun dikatakan tidak cekap, tapi lebih cekap daripada (kerajaan) dahulu dan dengan penghapusan rasuah, negara akan lebih maju dan rakyat hidup lebih sempurna,” katanya.

Hampir 20,000 rakyat hadir pada majlis Aidilfitri yang diadakan di Dewan Konvensyen MBI Desaku yang turut dihadiri Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.