Kerajaan perlu laksana cadangan RCI forex, kata Ku Li

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat kerugian urus niaga tukaran mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia pada 1990-an.

Ini selepas Putrajaya berkata “tiada tindakan lanjut” ke atas penemuan RCI itu yang antara lain mencadangkan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim disiasat atas peranan mereka dalam kerugian itu.

“Ia adalah perkara serius kerana kerajaan mengalami kerugian lebih RM30 bilion disebabkan urus niaga forex itu.

“Kita tidak sepatutnya terbabit, khasnya Bank Negara yang didakwa melakukannya,” kata ahli Parlimen Gua Musang itu di lobi Parlimen hari ini.

RCI itu dalam laporan setebal 400 muka surat menyalahkan bekas penasihat BNM, Nor Mohamed Yakcop atas kerugian RM31.5 bilion ditanggung bank pusat itu dalam urus niaga forex pada 1992 hingga 1994.

Ia turut mengesyorkan polis menyiasat Mahathir dan Anwar yang juga menteri kewangan ketika itu, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata, penelitian ke atas cadangan RCI itu mendapati ada kekurangan keterangan dokumentari bagi membuktikan dakwaan itu.

Ini kerana, katanya, kejadian itu berlaku lebih 25 tahun lalu dan dokumen asal mengenainya gagal diperolehi.

Ditanya sama ada keputusan “tiada tindakan lanjut” itu ialah satu bentuk penutupan, Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, apa saja yang dicadangkan RCI perlu dipertimbang dan dilaksanakan.

“Itu barulah adil, kalau tidak kenapa kita ada RCI?” soalnya.