Malaysia sokong perjanjian kurangkan pengeluaran minyak

Malaysia sokong perjanjian kurangkan pengeluaran minyak

Pengisytiharan Kerjasama (DoC) akan dilanjutkan selama 9 bulan hingga 31 Mac 2020.

Malaysia sebagai pengeluar minyak yang kecil akan bersama-sama negara pengeluar minyak besar meneruskan agenda kestabilan pasaran global. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia menyokong cadangan Pengisytiharan Kerjasama (DoC) yang akan dilanjutkan selama 9 bulan hingga 31 Mac 2020, pada paras pengeluaran semasa yang dipersetujui untuk memastikan kesinambungan kerjasama semasa yang lancar.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata walaupun Malaysia bukan anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan merupakan negara pengeluar minyak yang kecil, ia akan bersama-sama dengan negara pengeluar minyak, meneruskan agenda kestabilan pasaran global, yang akan memberi manfaat kepada negara pengeluar dan pengguna.

Negara juga menghargai sepenuhnya inisiatif yang diambil oleh Sekretariat OPEC yang berusaha memuktamadkan “Piagam Kerjasama antara Negara-Negara Pengeluar Minyak” (CoC), yang mengambil kira maklum balas dan pandangan daripada semua negara yang mengambil bahagian, termasuk Malaysia.

“CoC, yang diterima pakai oleh negara-negara yang mengambil bahagian hari ini, akan menginstitusikan rangka kerja untuk kerjasama yang tetap dan berkekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini, pada akhir Mesyuarat peringkat Menteri OPEC dan bukan OPEC Ke-6 yang diadakan di Vienna, Austria.

Delegasi Malaysia terdiri daripada pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Jabatan Peguam Negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan duta besar Malaysia ke Austria dan wakil tetap negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna.

Dalam mesyuarat, Malaysia menekankan prinsip CoC, iaitu atas dasar sukarela tanpa hak atau obligasi yang mengikat secara sah dan tidak menjejaskan kedaulatan negara anggota.

“Bagaimanapun, menerima pakainya penting untuk memastikan kerjasama yang berterusan antara OPEC dan bukan anggota OPEC. Dalam perkara ini, Malaysia mencadangkan selain menguruskan jumlah pengeluaran minyak, CoC juga perlu mencapai matlamat yang lebih tinggi untuk memastikan kestabilan pasaran minyak global.”

Malaysia melihat dokumen ini sebagai saluran utama untuk memudahkan OPEC dan bukan anggota OPEC menghadapi cabaran pasaran global dan menerima pakainya, akan menyediakan platform untuk mengimbangi semula pasaran dan melindungi kepentingan pengeluar, pengguna dan pelabur, kata Azmin.

Beliau berkata Malaysia turut menegaskan cabaran yang meningkat dalam pasaran minyak global hari ini terus didorong oleh pelbagai faktor termasuk pertumbuhan ekonomi global yang lembap dan ketegangan geopolitik yang meningkat.

Ini akan memberi impak kepada negara-negara membangun yang lebih kecil, katanya.

Mesyuarat peringkat Menteri OPEC dan bukan OPEC Ke-6 itu turut memutuskan ibu negara Austria, Vienna akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat yang akan datang pada Disember 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.