Hishammuddin ingatkan parti Melayu, Umno jangan sombong pelawaan Dr M

Hishammuddin ingatkan parti Melayu, Umno jangan sombong pelawaan Dr M

Hishammuddin Hussein mengingatkan pendirian yang diputuskan bahawa Umno juga perlu mengambil kira semua pihak termasuk parti daripada kaum lain.

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein mengingatkan semua parti politik Melayu termasuk Umno tidak terlalu sombong dengan pelawaan Dr Mahathir Mohamad yang mahu lebih ramai parti Melayu menyertai PPBM.

Ahli Parlimen Sembrong itu turut mengingatkan pendirian yang diputuskan bahawa Umno juga perlu mengambil kira pandangan semua pihak termasuk parti daripada kaum lain, yang dipercayai merujuk kepada rakan komponen BN.

“Cuma saya nak ingatkan semua pihak perkara berkaitan perpaduan, lebih-lebih lagi perpaduan ummah Melayu, kita jangan takbur, jangan sombong, jangan angkuh, kerana orang (rakyat) sedang perhatikan kita, bukan saja dalam Umno, PAS, tapi juga pihak yang menawarkan kerjasama antara kita.

“Dalam nak bincang kerjasama kesatuan ummah kena tengok juga apa pula penyatuan kaum lain. Dalam nak tentukan hala tuju masa depan, kena ambil semua sentimen ini yang saya tekankan setiap kali,” katanya kepada media di lobi Parlimen sambil memaklumkan beliau hanya mampu memberi pandangan kerana tidak mempunyai jawatan tertinggi dalam parti.

Beliau berkata demikian mengulas pelawaan perdana menteri kepada semua parti politik Melayu menyertai PPBM dalam usaha menyatupadu dan memperkasakan kuasa politik orang Melayu yang menimbulkan pelbagai reaksi pemimpin parti politi, baik pembangkang atau pihak kerajaan.

Hishammuddin bagaimanapun berkata pihaknya akan menunggu keputusan rasmi hasil perbincangan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung pelawaan Dr Mahathir itu.

“Pelawaan itu dibuat kepada parti bermakna partilah yang harus buat pendirian, dalam hal ni, isu penyatuan ummah penting untuk buat pendirian mereka termasuk parti-parti dalam PH.

“Saya difahamkan PH akan bermesyuarat hari ini,saya akan tunggu dan lihat apa pendirian PKR dan DAP,” katanya.

Jumaat lalu, Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu termasuk Umno menyertai PPBM bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.

Perdana Menteri berkata, penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada 6 parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.