NGO sokong transgender dilantik AJK bawah Kementerian Kesihatan

Rania Zara Medina dilantik menjadi ahli Country Coordinating Mechanism bagi penggal 2019/2021. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir hari ini menyuarakan sokongan terhadap pelantikan wakil transgender sebagai ahli jawatankuasa (AJK) dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) di bawah Kementerian Kesihatan dan menyifatkannya contoh baik penglibatan dan perundingan dengan komuniti yang sering menerima dasar yang dibuat terhadap mereka.

Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata penglibatan itu sejajar dengan strategi yang terkandung dalam Pelan Strategik Kebangsaan Akhiri AIDS 2016-2030.

“Malaysia sentiasa mempunyai wakil transgender di CCM,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Galen Azrul Mohd Khalib dalam satu kenyataan.

“Peranan dan beban tanggungjawab ini mengiktiraf bahawa komuniti ini bukan ‘masalah’ tetapi sebahagian daripada penyelesaian kepada wabak HIV negara.”

Pelantikan Rania Zara Medina ke dalam CCM dilaporkan berkuatkuasa pada 1 Julai.

Bekas ratu cantik itu menjadi ahli CCM bagi penggal 2019/2021.

Azrul berkata kejayaan maklum balas Malaysia terhadap HIV adalah sebahagian strategi untuk memastikan penglibatan dan penyertaan daripada komuniti terpinggir.

Beliau berkata, dahulu dan sekarang CCM memasukkan wakil daripada “penagih dadah, lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, golongan transgender, pekerja seks, mereka yang tinggal dengan penghidap HIV dan remaja”.

“Transgender wanita, Khartini Slamah, berdiri di sebelah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa pelancaran Persidangan Antarabangsa AIDS ke-5 di Asia dan Pasifik yang diadakan di Kuala Lumpur pada 1999,” katanya.

“Mahathir adalah contoh dalam mengetuai cara menentang stigma dan diskriminasi terhadap mereka yang dipinggirkan masyarakat dengan membuat perbezaan besar dalam bagaimana kita melihat mereka yang hidup dengan atau terjejas oleh penyakit tersebut hari ini.

“Penekanan harus diberikan mengenai belas kasihan dan penerimaan berbanding diskriminasi dan penolakan.”