Beberapa suspek ditahan, dalang video seks sejenis dikenal pasti, kata polis
Ketua polis negara berkata, penyebaran video itu dibuat melalui pakatan tertentu.
PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengesahkan pihaknya sudah mengenal pasti dalang di sebalik penyebaran klip video seks sejenis menyasarkan seorang menteri kanan pada bulan lalu.
Katanya, penyebaran video itu dibuat melalui pakatan tertentu dan beberapa individu sudah ditahan, tetapi beliau enggan mendedahkan identiti mereka.
“Ada bayangan siapa bertanggungjawab. Ada bentuk pakatan di belakangnya berdasarkan nombor telefon yang digunakan.
“Ada beberapa orang yang ditahan dan sudah dilepaskan, tetapi saya kurang pasti berapa orang.
“Sesiapa saja sama ada ahli politik, orang biasa atau NGO, siapa yang bertanggungjawab kita ambil tindakan,” katanya selepas sesi beramah mesra dengan penghuni berek polis di Setiawangsa malam ini.
Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengakui dirinya seorang daripada 2 lelaki yang dirakam mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan pada Mei lalu.
Haziq turut menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali sebagai pasangannya dalam video itu, tetapi dinafikan timbalan presiden PKR itu yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan.
Haziq kemudiannya dipecat daripada jawatan setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin susulan pengakuan itu, diikuti PKR mengambil tindakan memecat keahliannya pada 3 Julai lalu.
Hamid berkata, kertas siasatan kes itu dihantar kepada Jabatan Peguam Negara sebanyak 2 kali, tetapi polis diminta mencari bukti lain.
“Ada beberapa lagi tindakan yang perlu diambil, itupun atas arahan pihak pendakwa raya sebab kita sudah hantar fail 2 kali.
“Kita juga terpaksa pergi ke Sandakan, Sabah, kemudian balik semula ke sini, itu makan masa. Pegawai siasatan yang menerima arahan akan bertindak mengikut arahan Jabatan Peguam Negara.”
Katanya, tindakan menyebarkan video seks itu ialah satu kesalahan dan ia antara aspek yang sedang disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
“Kita sedang mencari siapa yang bertanggungjawab, dengan niat menyebarkan, menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan bahan-bahan seperti itu.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Mengenai kesahihan video seks sejenis itu, Hamid berkata, pihaknya masih menunggu laporan makmal daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.