Apa kaitan antara rokok, obesiti dan kanser?

Apa kaitan antara rokok, obesiti dan kanser?

Merokok sememangnya antara punca utama kanser berlaku kepada individu, bagaimanapun ia tidak boleh menjadi satu-satunya perkara yang perlu anda elak dan hindar.

Kebiasaannya, kanser akan dikaitkan dengan tabiat hidup yang tidak sihat seperti merokok.

Namun, tahukah anda bahawa obesiti juga adalah antara punca utama yang menyebabkan penyakit yang membawa maut ini?

Menurut kajian terbaharu yang dijalankan oleh Cancer Research di United Kingdom (UK), individu yang mengalami obesiti kini didapati lebih ramai daripada individu yang merokok dengan nisbah 2:1 orang.

Nisbah yang membimbangkan ini juga sebenarnya akan meningkatkan lagi risiko beberapa jenis kanser yang berbahaya buat masyarakat sejagat.

Hampir sepertiga daripada individu dewasa di UK mengalami obesiti.

Walaupun merokok merupakan punca terbesar penyakit kanser, obesiti juga sebenarnya adalah antara punca utamanya.

Cancer Research turut mengeluarkan analisis yang mendedahkan bahawa individu yang mengalami obesiti adalah lebih berisiko mengalami 4 jenis kanser yang berbeza.

Menurut kajian di UK pada setiap tahun, berat badan berlebihan adalah antara punca berlakunya kanser usus.

Selain itu, ia juga adalah punca kepada pelbagai lagi kanser lain seperti kanser buah pinggang, ovari dan hati.

Berikut merupakan jumlah kes penyakit berbahaya ini yang disebabkan oleh obesiti:

  • Kanser usus: 1,900 kes
  • Kanser buah pinggang: 1,400 kes
  • Kanser ovari: 460 kes
  • Kanser hati: 180 kes

Baru-baru ini, Cancer Research telah melancarkan kempen yang meluas ke serata dunia untuk meningkatkan kesedaran kaitan antara obesiti dan penyakit berbahaya ini.

Lemak badan yang berlebihan akan memberi isyarat kepada sel untuk terbahagi dengan lebih kerap.

Ini seterusnya akan merosakkan sel-sel lalu meningkatkan berlakunya risiko kanser.

Kempen yang membandingkan obesiti dan merokok untuk punca berlakunya kanser ini adalah polisi yang mampu mengubah persepsi individu terhadap kehidupan yang lebih sihat, bukannya sekadar membandingkan makanan dengan tembakau semata-mata.

Menurut Michelle Mitchell yang merupakan Pengarah Eksekutif Cancer Research di UK, terdapat banyak kaitan antara merokok, obesiti dengan penyakit yang boleh membawa maut ini.

“Dalam masa kadar perokok menurun dan kadar obesiti meningkat, kita boleh lihat impaknya secara jelas terhadap krisis kesihatan negara.

“Kanak-kanak seharusnya menjadi generasi bebas asap rokok tetapi kini kita dibelenggu oleh masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang juga merupakan sebuah epidemik yang membimbangkan.

“Para saintis setakat ini telah menyimpulkan bahawa obesiti sebenarnya mampu meninggikan risiko 13 jenis kanser tetapi mekanismanya adalah agak sukar untuk difahami.

“Jadi kajian yang selanjutnya perlu dijalankan untuk mengetahui mengenai kaitan lemak berlebihan dengan punca berlakunya kanser,” katanya.

Disebabkan itu, beliau mahu pihak kerajaan untuk membantu mereka mencapai ambisi iaitu mengurangkan kadar obesiti kepada separuh menjelang tahun 2030.

Antara idea yang diketengahkan adalah memperkenalkan pengiklanan dan peringatan berkenaan bahaya aneka makanan dan minuman ringan di televisyen dan pelbagai lagi platform media.

Menurut Profesor Linda Bauld yang merupakan Pakar Pencegah dan Pengkaji Cancer Research di UK, tabiat merokok dan makan secara berlebihan adalah punca penyakit berbahaya ini semakin berada dalam tahap yang membimbangkan.

“Terima kasih kepada pengiklanan, peringatan dan larangan untuk merokok, kadar perokok dalam negara sudah mula menurun tahun demi tahun. Langkah yang sama turut perlu diambil untuk mengawal masalah obesiti”.

“Ya, memang agak sukar untuk menjalani hidup yang sihat dan kita sememangnya memerlukan bantuan dan tindakan daripada pihak kerajaan untuk memperbetulkannya. Pun begitu, anda sendiri juga perlu mengubahnya walaupun ia adalah sesuatu yang tampak kecil seperti mengubah diet anda dan sentiasa kekal aktif untuk mengurangkan risiko penyakit yang boleh membawa maut ini,” ujarnya.

Kesimpulannya, merokok sememangnya merupakan antara punca utama kanser berlaku kepada individu.

Bagaimanapun, ia tidak boleh menjadi satu-satunya perkara yang perlu anda elak dan hindar.

Obesiti juga adalah punca risiko penyakit berbahaya ini berlaku.

Oleh itu, kawal juga pemakanan anda agar anda tidak berisiko mengalami obesiti.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.