
Ia susulan kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia semalam yang umat Islam dilarang mengambil minuman ringan diperbuat daripada proses sama dengan minuman beralkohol, tidak kira ia mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling.
“Semua produk Heineken 0.0 terdapat di zon tidak halal pasar raya dan kedai serbaneka dengan tanda jelas menunjukkan produk itu hanya untuk bukan Islam berumur 21 tahun dan ke atas.
“Tambahan, bagi kedai tanpa kawasan khas tidak halal, kami meletakkan tanda jelas untuk memaklumkan pengguna yang Heineken 0.0 hanya untuk bukan Islam, berumur 21 tahun dan ke atas,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Katanya, tujuan memperkenalkan Heineken 0.0 di Malaysia bertujuan memberi pilihan kepada pengguna bukan Islam untuk merasai bir tanpa kesan alkohol.
Ia turut menyasarkan peminum bir yang mahu mengurangkan pengambilan alkohol untuk gaya hidup seimbang.
Katanya, slogan iklan Heineken 0.0 “Now You Can” merujuk bukan Islam boleh mengambil minuman itu bila-bila masa, termasuk ketika makan tengah hari dan ia turut mendidik pengguna bukan Islam menerusi pengiklanan di media sosial.
“Sebagai pembuat bir bertanggungjawab dan progresif, Heineken Malaysia komited menyokong pengambilan bertanggungjawab dan kami percaya Heineken 0.0 mempunyai peranan penting dalam aspek ini.”
Syarikat itu berkata, operasinya “sensitif dari segi budaya” dan semua bahan pemasarannya mempunyai penafian jelas yang Heineken 0.0 hanya untuk orang bukan Islam berusia 21 tahun dan ke atas.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa meminta pengeluar bir di negara ini tidak mengelirukan pengguna, khasnya umat Islam dengan mengeluarkan minuman tanpa alkohol.
“Menggunakan nama arak tanpa alkohol amat mengelirukan kerana proses penghasilan minuman itu, termasuk penyulingan air dibuat dalam kerangka menghasilkan arak (beralkohol).
“Kita tahu ia syarikat arak, maka walaupun kata tiada alkohol, tapi ia menimbulkan kekeliruan dan boleh menyebabkan umat Islam menganggap benda itu mereka boleh gunakan,” katanya dipetik Bernama selepas menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat meraikan 207 jemaah haji Parlimen Parit Buntar hari ini.
Beliau turut menasihatkan umat Islam tidak mengambil sebarang produk yang diragui status halalnya.