Di sebalik Instagram Oksana, Istana Kelantan jelaskan siapa tengku mahkota sah

Di sebalik Instagram Oksana, Istana Kelantan jelaskan siapa tengku mahkota sah

Pihak Istana berkata hanya pengumuman rasmi boleh sahkan gelaran kepada keluarga diraja.

Istana Kelantan menasihati rakyat tidak mempercayai dakwaan yang dibuat di media sosial. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Istana Kelantan hari ini berkata gelaran keluarga diraja hanya dapat diberikan melalui pengumuman rasmi, dalam kenyataan yang menyusul beberapa kiriman Instagram oleh Rihana Oksana Gorbaten, model Rusia yang berkahwin dengan Sultan Muhammad V tahun lepas.

“Tiada sesiapa pun boleh digelar sebagai Permaisuri Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, Sultanah Kelantan atau ‘Queen of Kelantan’ tanpa sebarang pengumuman rasmi dari Istana Kelantan,” kata pengelola diraja Istana Kelantan, Nik Mohd Shafriman Nik Hassan.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas sebuah dokumen didakwa sijil perceraian tersebar di media sosial.

Ia menunjukkan Sultan Kelantan menceraikan Oksana dengan “talak 3”.

Bagaimanapun, Istana Kelantan belum memberikan respon terhadap keaslian sijil itu.

Sebelum ini, Oksana berkongsi gambarnya dengan Sultan Muhammad V di Instagram.

Salah satu kiriman Rihana Oksana Gorbaten di Instagram minggu lepas.

Dalam satu kiriman minggu lalu, bekas ratu cantik yang pernah digelar Miss Moscow itu menyentuh mengenai anak lelaki pasangan itu, Ismail Leon, sambil memanggilnya “Tengku Mahkota Kelantan”.

“Pada tahun 2017, saya berpindah ke Kuala Lumpur. Saya berkahwin pada bulan Jun 2018 dan pada bulan Mei 2019, saya melahirkan anak saya Ismail Leon- Tengku Mahkota Kelantan, dan insyallah bakal Raja Kelantan,” tulisnya.

Bagaimanapun, dalam kenyataan yang tidak merujuk kepada kiriman itu, Istana Kelantan berkata tengku mahkota yang sah adalah Tengku Muhammad Faiz Petra, adik sultan sekarang.

“Hanya pengumuman rasmi dari istana Kelantan yang boleh diambil kira sebagai berita yang tepat dan boleh diterima pakai oleh rakyat dan pengamal media,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.