Menteri akui projek tambak laut P Pinang jejaskan nelayan

Salahuddin Ayub.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub hari ini mengakui Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang, iaitu projek yang akan membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, akan menjejaskan nelayan dan penternak akuakultur.

Salahuddin berkata projek itu akan menjejaskan 4,996 nelayan, dengan anggaran pendaratan 51,184 tan metrik dengan nilai RM555 juta setahun, dan 511 penternak akuakultur, dengan anggaran pengeluaran 45,742 tan metrik dengan nilai RM1.67 bilion setahun.

Beliau menjelaskan projek itu boleh menjejaskan ekosistem dataran lumpur, kawasan menangkap ikan, penghijrahan udang, kawasan pendaratan penyu, dan sebahagian terumbu karang di Pulau Rimau.

“Kementerian melalui Jabatan Perikanan Malaysia telah menyarankan langkah-langkah mitigasi yang mesti dilaksanakan tanpa gagal kepada kerajaan Pulau Pinang, antaranya penggazetan zon konservasi perikanan sepanjang pesisir pantai dari Pulau Betung sehingga Teluk Bahang termasuk kawasan air sehingga 1 batu nautika,” katanya menjawab pertanyaan Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas).

Salahuddin juga menggesa kerajaan negeri membela nelayan-nelayan yang terjejas dan memberi pampasan yang setimpal.

“Ia merupakan tanggungjawab yang perlu diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Ditanya adakah kementerian akan mendesak projek itu dihentikan melalui Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), Salahuddin berkata pihaknya telah melaporkan segala maklumat dengan data-data dan kepakaran daripada pegawai kementerian.

“Keputusan tertakluk kepada MPFN yang dipengerusikan perdana menteri,” katanya.

Sebelum ini, gabungan nelayan membantah projek tambak laut bagi pembinaan 3 pulau buatan seluas hampir 17km persegi di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas itu, yang akan membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.