Saya sokong Najib jika bantu pulih parti, kata Hishammuddin

Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein berkata, adalah terlalu awal untuk melihat sama ada Najib Razak mampu memulihkan parti atau sebaliknya.

PETALING JAYA: Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein berkata, beliau menyokong Najib Razak dilantik sebagai pengerusi lembaga penasihat Barisan Naisonal (BN) jika ia dapat memulihkan parti itu.

Beliau bagaimanapun mengakui adalah terlalu awal untuk mengukur sama ada bekas perdana menteri itu mampu melakukannya atau sebaliknya.

“Saya sokong kalau dia (Najib) bantu (pulihkan parti). Tetapi masih terlalu untuk lihat sama ada penglibatan beliau boleh perkukuhkan parti.

“Ini bukan untuk beri pandangan peribadi,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita Umno Bahagian Kota Melaka, hari ini.

Hishammuddin berkata, jika Najib mahu kembali memimpin parti, baik sebagai penasihat atau presiden atau apa-apa juga jawatan, maka keutamaan mesti diberikan kepada kekuatan dan usaha memulihkan parti itu sendiri.

“Tetapi kalau ia sesuatu yang bercanggah dengan perjuangan Umno atau mengambil kesempatan atas kedudukan yang ada untuk kepentingan diri, maka kita perlu menolaknya secara tertib dan bijaksana,” katanya.

Pada 9 Julai, pimpinan BN sebulat suara melantik Najib, yang kini popular dengan fenomena “bossku”, sebagai pengerusi lembaga penasihatnya.

Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perkara itu diputuskan oleh majlis pimpinan tertinggi BN.

Najib mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi BN dan presiden Umno pada 12 Mei tahun lepas ekoran kekalahan gabungan politik itu pada pilihan raya umum ke-14.

Walaupun berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah, ahli Parlimen Pekan itu kembali ke arena politik sebagai pengkritik PH yang berkesan melalui hantaran di Facebook, selain memaparkan sokongan orang ramai menerusi kegiatan media sosial yang aktif dan lawatan ke serata negara.