
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata pihaknya dalam proses meningkatkan serta menstabilkan paras air kolam dan tekanan sistem agihan bagi proses pemulihan bekalan air secara berperingkat.
“Bantuan lori tangki akan digerakkan untuk diberi kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan.
“Berikutan insiden ini melibatkan gangguan berskala besar, pelanggan diminta mendapatkan bantuan di pusat khidmat setempat dan pili awam bagi mendapatkan bekalan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raof berkata, pihaknya dengan bantuan agensi berkaitan sedaya upaya memberikan bantuan dan mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan terjejas.
Semalam, Air Selangor memaklumkan pencemaran diesel dikesan di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang daripada sumber air mentah Sungai Selangor.
Susulan itu, LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada 6 petang semalam disusuli LRA Sungai Selangor Fasa 3 pada 8 malam serta LRA Sungai Selangor Fasa 1 dan 2 pada 8.15 malam Ahad.
Ia adalah penutupan kali ke-2 buat 4 LRA itu dalam masa kurang seminggu dengan penutupan pertama pada Jumaat lalu disebabkan pencemaran bau.