Syarikat lombong pasir kerajaan negeri siasat punca tumpahan diesel di Sungai Selangor

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara akan mengambil tindakan tegas di bawah akta sedia ada terhadap pihak yang mencemarkan sistem bekalan air.

PETALING JAYA: Syarikat perlombongan pasir milik kerajaan Selangor sedang menyiasat kemungkinan sabotaj dan khianat menjadi punca tumpahan diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan gangguan air besar-besaran di Lembah Klang susulan penutupan 4 loji rawatan air utama semalam.

Kumpulan Semesta Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan ke atas tumpahan diesel yang dikesan kira-kira 6.15 petang semalam dekat Kolam Hang Tuah itu, dijalankan daripada semua sudut dan butiran lanjut akan diberitahu nanti.

“Pasukan (Tindakan Kecemasan) ERT kami telah dikerahkan dengan segera ke tapak kejadian dan punca tumpahan telah dikenal pasti dan dikawal. Kami sedang memantau situasi dan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.

“Situasi ini amat dikesali, namun kami ingin menegaskan perlindungan alam sekitar, sungai dan sumber air adalah keutamaan kami.”

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dilaporkan berkata, pencemaran diesel dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Katanya, pencemaran diesel itu berpunca daripada aktiviti mengorek pasir di hulu sungai yang menyebabkan 4 LRA itu dihenti tugas bermula 6 petang Ahad, sebelum ia beroperasi semula kira-kira 3.30 pagi Isnin.

Air Selangor berkata, ia adalah pencemaran ke-2 dalam 3 hari melibatkan penutupan 4 LRA utama dan menyebabkan gangguan air berskala besar kepada pengguna.

Jumaat lalu, 1.16 juta pengguna di 1,133 kawasan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terjejas susulan pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Selangor.

Sementara itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggesa polis menyiasat jika wujud unsur sabotaj dalam pencemaran bau dan diesel di 4 LRA sejak Jumaat lalu, susulan laporan yang dibuatnya pagi ini.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 121(1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 untuk mencemarkan mana-mana saluran air atau sistem bekalan air yang mungkin membahayakan nyawa orang ramai.

“SPAN akan menggunakan akta sedia ada untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku. SPAN juga berharap kerajaan Selangor akan menamatkan konsesi kontraktor pasir, sekiranya mereka didapati terlibat dalam insiden pencemaran ini.

“Majlis Daerah Hulu Selangor dan Jabatan Alam Sekitar juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat dalam insiden ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menggesa kerajaan pusat dan negeri mempertimbangkan pemberhentian semua aktiviti ekonomi di sekitar kawasan sungai, khasnya bahagian hulu sungai yang merupakan sumber air bagi aktiviti harian pengguna.