Agong mempunyai semangat sukan tinggi, tinggalkan darjat luar padang

Agong mempunyai semangat sukan tinggi, tinggalkan darjat luar padang

Sahabat Sultan Abdullah, Hata Ali berkongsi sikap keterbukaan dan profesional ketika beraksi sukan polo berkuda.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. (Gambar rmpa.org.my)

Atas dasar minat dan rasa cinta yang mendalam dalam bidang sukan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sanggup meninggalkan darjat rasmi baginda di luar padang demi mendapatkan cabaran “sebenar”.

Malah Sultan Abdullah yang sememangnya diketahui mempunyai semangat kesukanan yang tinggi sering kali mengatasi status dan protokol Seri Paduka sebagai seorang yang berketurunan raja terutamanya ketika beraksi di gelanggang sukan polo berkuda.

Ini pandangan yang disuarakan rakan karib dan rakan berlatih polo Sultan Abdullah, Hata Ali.

Bercerita tentang perilaku Seri Paduka semasa beraksi di padang, Hata, 73, berkata sikap keterbukaan dan profesional Seri Paduka dalam bersukan membuatkan Sultan Abdullah disenangi kawan mahupun lawan ketika di atas padang.

“Baginda sama macam anda dan saya, sama juga dengan lawan baginda ketika di atas padang. Jangan ingat (ketika main polo) lawan akan kata… oh dia Tuanku, jadi kita tidak boleh langgar dia.

“(Sebenarnya) Baginda lebih suka apabila orang langgar, maknanya baginda nak lawan balik, semangat juang baginda sangat tinggi,” katanya kepada Bernama dalam temu bual bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.

Hata Ali.

Bercerita lanjut, Hata berkata minat Seri Paduka terhadap sukan polo bermula ketika berusia belasan tahun lagi apabila Sultan Abdullah mengiringi Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah bermain polo pada ketika itu.

Hata berkata semasa itu jugalah persahabatannya dengan Sultan Abdullah mula terjalin apabila kedua-dua mereka sering bertemu di gelanggang polo yang sama.

Mengenai aksi Seri Paduka semasa bermain polo, beliau berkata Sultan Abdullah dikenali sebagai seorang pemain polo yang sangat “calculative” dengan mengutamakan logik dan mampu membaca permainan dengan baik.

“(Ketika di atas padang) Tuanku seorang ‘motivator’ yang hebat, baginda suka menggalakkan pemain lain supaya fokus dan memberikan usaha 100%. Tuanku seorang ahli sukan serba boleh, kalau anda bercakap tentang polo atau hoki, baginda memang tahu semua,” katanya.

Selain bermain polo di dalam negara, Sultan Abdullah sering berangkat ke luar negara seperti ke Argentina dan England untuk bermain polo dengan pemain handalan dunia, malahan Seri Paduka juga pernah bermain bersama Putera Charles, Prince of Wales, kata Hata.

Sultan Abdullah kini merupakan Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia dan Presiden Kelab Polo Diraja Pahang.

Hata, yang sudah lebih 40 tahun mengenali Sultan Abdullah, berkata daripada sisi keperibadian, Seri Paduka merupakan seorang yang berprinsip dan tegas, selain sangat menitikberatkan sikap bersopan santun dalam pergaulan.

Sultan Abdullah juga merupakan seorang sahabat yang baik dan sangat terbuka kepada sebarang pandangan, kritikan dan pendapat berbeza, katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.