Maszlee seru pertubuhan menteri kritis nilai polisi pendidikan

Maszlee Malik.

KUALA LUMPUR: Anggota Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (Seameo) perlu kritis dalam membina perspektif yang betul selepas pelan strategik Seameo 2015-2020 berakhir tahun depan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau menggalakkan peserta persidangan mengambil peluang memberi penilaian yang telus dan jujur berhubung program dan polisi sedia ada.

“Kita perlu kritis untuk membina perspektif yang betul menjelang 2020, seperti yang saya katakan sebelum ini, ia menandakan berakhirnya pelan strategik Seameo 2015-2020,” katanya selepas merasmikan Persidangan Majlis Seameo Ke-50 hari ini.

Beliau berkata kebolehan kreatif dan dinamik setiap negara serta pengalaman kolektif serantau perlu dimanfaatkan sebelum membangunkan pelan strategik baru pasca 2020.

Terdahulu, beliau berkata pertumbuhan sektor pendidikan di Asia Tenggara bergantung kepada rangka kerja serantau dan semua 11 negara di Asia Tenggara akan bekerjasama sebagai satu “keluarga besar” dalam menyelaras sistem pendidikan walaupun terdapat jurang pendidikan antara negara.

“Saya rasa daripada bercakap tentang perbezaan antara negara anggota, kita harus melihat kepada persamaan dan kekuatan yang dapat kita memanfaatkan.

“Kita harus berpegang kepada semangat ‘regionalism’ dan semangat satu keluarga Asia yang besar…kita harus bekerjasama berdasarkan kekuatan kita kerana setiap negara mempunyai kekuatan tersendiri dan untuk memanfaatkan kekuatan itu, kita harus bekerja sebagai keluarga besar Asia bermula daripada sekarang,” katanya.

Turut hadir bekas presiden Seameo yang juga menteri pendidikan Indonesia, Muhadjir Effendy.

Pada majlis itu, Maszlee dilantik sebagai presiden Seameo bagi penggal 2019-2021.

Persidangan 4 hari itu dihadiri menteri-menteri pendidikan, pegawai tinggi kerajaan dan wakil dari semua 11 negara anggota Seameo, anggota bersekutu, ahli gabungan, pusat serantau Seameo dan rakan strategik.

Negara anggota terdiri daripada Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam.