Polis tahan suspek serangan bersiri bunuh 4 orang di Los Angeles

Polis tahan suspek serangan bersiri bunuh 4 orang di Los Angeles

Suspek turut menembak mati seorang wanita di sebuah stesen minyak serta mencederakan seorang lelaki di luar sebuah bank di North Hollywood ketika cuba merompak mangsa.

Polis mengesahkan Gerry Dean Zaragoza mempunyai kaitan dengan insiden tembakan di Lembah San Fernando yang membunuh 4 orang, termasuk bapa dan abangnya.
LOS ANGELES:
Seorang lelaki yang dituduh membunuh 4 orang dan mencederakan 2 yang lain dalam beberapa siri serangan, kini ditahan polis, lapor agensi berita Xinhua.

“Kita mengesahkan suspek dikenali Gerry Dean Zaragoza, 26, mempunyai kaitan dengan insiden tembakan di Lembah San Fernando dan telah ditahan polis,” tulis Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) di Twitter.

Kenyataan itu dimuat naik kira-kira 3 petang waktu tempatan, 3 jam selepas kejadian tembakan berlaku di stesen bas Van Nuys, terletak 30 km di barat bandar Los Angeles.

Zaragoza juga disyaki membunuh bapa dan abangnya serta mencederakan ibunya dalam kejadian di Canoga Park pada Khamis pagi.

Suspek, kemudian menembak mati seorang wanita di sebuah stesen minyak serta mencederakan seorang lelaki di luar sebuah bank di North Hollywood ketika cuba merompak mangsa.

Canoga Park, North Hollywood dan Van Nuys merupakan komuniti yang terletak di Lembah San Fernando, dengan Van Nuys mempunyai jumlah penduduk paling ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.