Trump tidak kecewa Korea Utara uji peluru berpandu jarak sederhana

Trump tidak kecewa Korea Utara uji peluru berpandu jarak sederhana

Pada Khamis Korea Utara menguji 2 peluru berpandu balistik jarak sederhana, yang disifatkan provokasi terbaru negara komunis itu sejak awal Mei.

Presiden Donald Trump berkata, AS dan Korea Utara bersetuju untuk menyempurnakan langkah pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea sebagai tukaran jaminan keselamatan. (Gambar AFP)
WASHINGTON:
Presiden Donald Trump berkata beliau tidak kecewa dengan ujian peluru berpandu balistik Korea Utara awal minggu ini, membayangkan komitmen untuk meneruskan rundingan dengan rejim itu, lapor agensi berita Yonhap.

Trump berkata demikian selepas Korea Utara pada Khamis menguji 2 peluru berpandu balistik jarak sederhana, yang disifatkan provokasi terbaru negara komunis itu sejak awal Mei.

Ditanya adakah beliau kecewa, Trump berkata, “Tidak, sama sekali.”

“Hubungan saya sangat baik dengan pengerusi Kim,” katanya, di Rumah Putih.

“Kita akan lihat apa yang berlaku, semua orang punyai peluru berpandu jarak sederhana,” ujarnya.

Ujian itu dibuat susulan perjanjian Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un untuk menyambung semula rundingan peringkat pegawai mengenai pelucutan senjata nuklear yang dicapai semasa pertemuan di sempadan antara Korea pada 30 Jun.

Korea Utara menegaskan rundingan hanya akan disambung semula bergantung sama ada Seoul dan Washington akan menjalankan latihan ketenteraan bersama yang dijadualkan bulan depan atau sebaliknya.

Mengulas mengenai ujian terbaru itu, Trump memberitahu rangkaian berita Fox News pada Khamis, Korea Utara tidak menguji peluru berpandu besar kecuali yang kecil-kecil dan peluru berpandu kecil itu memerlukan banyak ujian.

Setiausaha Negara Amerika, Mike Pompeo menyifatkan ujian berkenaan sebagai helah ketika berunding dan berkata, beliau menjangkakan rundingan peringkat pegawai akan disambung dalam masa seminggu dua lagi.

Jabatan Negara Amerika turut menyatakan ia terus komited terhadap usaha diplomasi, tetapi menggesa Korea Utara supaya berhenti melakukan provokasi.

Pada pertemuan 4 mata pertama antara Trump dengan Kim di Singapura pada Jun 2018, mereka bersetuju untuk berusaha ke arah menyempurnakan langkah pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea sebagai tukaran jaminan keselamatan Amerika.

Rundingan ke-2 di Vietnam pada Februari berakhir tanpa sebarang persetujuan berikutan perbezaan pendapat terhadap skop pelucutan senjata nuklear Korea Utara dan pembatalan beberapa sekatan dagangan Amerika.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.