
Ketua Pemuda PPBM Selangor Adhif Syan Abdullah berkata pihaknya juga berharap cadangan seni khat dimasukkan dalam buku teks pelajar Tahun 4 menjelang 2020 diteruskan, di sebalik tentangan daripada beberapa pihak.
“Tindakan beberapa pihak yang membangkang usaha KPM (pelajaran jawi/khat dalam buku teks sekolah) jelas menunjukkan kedangkalan mereka dalam memahami sejarah dan keistimewaan tulisan tersebut.
“Pemuda Selangor yakin stigma ke atas tulisan jawi berasal daripada salah sangka tulisan jawi adalah sebahagian daripada Islam kerana huruf dan tulisannya berasal daripada huruf Al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks sekolah akan terus digunakan sehingga 2020.
“Penggunaan tulisan Jawi di dalam buku teks sudah dilaksanakan sejak 2016 dan kalau nak diikutkan keputusan pada tahun itu, seni khat akan dimasukkan ke dalam buku teks pelajar Tahun 4 menjelang 2020,” kata Teo.
Bagaimanapun Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan tindakan Teo membuat pengumuman itu secara terus kepada media ketika ditanya mengenai perkara terbabit, bukan mengumumkannya secara rasmi menerusi KPM.
Semalam, Dong Zong dan Jiao Zong (DZJ), kumpulan pendidikan Cina menentang penambahan seni khat dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular, tahun depan.
Mereka mendakwa seni khat “tidak sesuai”, mengatakan tidak ada hubungan secara langsung antara seni khat dan BM.
Mengulas lanjut, Adhif berharap tiada pihak menyamakan kaligrafi Cina atau Tamil sebagai setaraf dengan tulisan jawi di Malaysia, kerana tulisan itu dipulihara dan diangkat martabatnya di negara asal.
“Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 secara jelas menyebut jawi merupakan tulisan bagi bahasa kebangsaan di samping tulisan rumi.
“Tulisan jawi turut dicetak di wang kertas dan
syiling negara, jata negara serta jata negeri tertentu dan juga semua Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu,” katanya.
Beliau menambah, tulisan jawi tidak boleh disamataraf dengan tulisan lain yang berasal dari luar yang tidak terasimilisasi dalam peradaban negara.