Penyamar doktor didakwa lucah terhadap 21 wanita dituduh esok

Penyamar doktor didakwa lucah terhadap 21 wanita dituduh esok

Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan, kata polis.

PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang didakwa menyamar sebagai doktor dan lucah terhadap 21 wanita akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu esok.

Pemangku Ketua Polis Hulu Selangor, Azman Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa-mangsa sejak Januari lagi.

“Suspek beritahu terima butiran berkaitan ujian HIV mangsa, sambil menyatakan mangsa mempunyai masalah kesihatan seperti terdapat ketulan pada payudara, menghidap penyakit kanser payu dara, masalah darah, lemak di rahim dan payu dara.

“Suspek juga meminta mangsa melakukan senaman seperti mencangkung sambil gosok alat kemaluan, menepuk buah dada, membuat bunyi terangsang sambil bercakap perkataan-perkataan lucah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sebuah hotel di Klang pada 9 Julai lalu.

“Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Selain itu, dia juga akan didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.

Seksyen 509 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan melakukan perkataan atau isyarat untuk tujuan mengaibkan kehormatan seseorang.

Seksyen 170 pula memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda jika disabit kesalahan menyamar sebagai penjawat awam.

Sementara itu, polis juga sedang menyiasat 4 laporan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun jika disabit kesalahan melakukan kelucahan melampau.

“Polis juga bertindak merampas telefon bimbit suspek untuk membantu siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.