Khat diteruskan, dilaksana secara pilihan, kata Maszlee

Khat diteruskan, dilaksana secara pilihan, kata Maszlee

Kementerian Pendidikan berharap keputusan Kabinet berhubung langkah memperkenalkan khat dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah tidak akan dipersoalkan lagi.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA:
Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata, langkah kementerian itu memperkenalkan tulisan khat dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah akan diteruskan, tetapi guru diberi kuasa untuk menentukan kaedah pelaksanaannya di bilik darjah.

“Jemaah Menteri memutuskan supaya pengenalan tulisan khat diteruskan seperti dirancang dengan mengambil kira beberapa langkah penyesuaian yang berkaitan.

“Jemaah Menteri juga menetapkan supaya pengenalan tulisan khat dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu beliau berharap keputusan Kabinet itu tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan ramai.

Selain itu katanya, kerajaan juga bersetuju tulisan khat dimuatkan sebanyak 3 muka surat dalam buku teks, dan tidak dimasukkannya dalam peperiksaan atau ujian.

“Khat bukan satu subjek, ia hanyalah satu aktiviti,” katanya.

Ketika ditanya sama ada murid boleh memilih untuk tidak belajar tulisan khat, Maszlee berkata, ia “terserah kepada guru yang mengajar”.

Berhubung bantahan Sabah dan Sarawak terhadap langkah pengenalan tulisan khat di sekolah di negeri berkenaan, beliau berkata, 2 negeri itu adalah sebahagian daripada Malaysia.

“Jadi mengikut perlembagaan persekutuan, pendidikan merupakan bidang kuasa kerajaan pusat,” katanya.

Langkah kementerian itu untuk memperkenalkan khat mendapat bantahan daripada sebilangan kumpulan mewakili kepentingan masyarakat Cina dan Tamil yang berkata ia tidak membantu pelajar sekolah vernakular meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka.

Ia juga dibantah oleh pemimpin akar umbi DAP.

Kementerian berkenaan sebelum ini berkata, langkah untuk memperkenalkan tulisan khat, yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada identiti kebangsaan Malaysia, telah dilaksanakan sejak 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.